Skip to main content

Singapura

Lelaki tinggalkan kereta untuk elak ditangkap memandu dalam keadaan mabuk

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki tinggalkan kereta untuk elak ditangkap memandu dalam keadaan mabuk

(Gambar fail: TODAY)

Diterbitkan : 28 Jul 2023 06:18PM Dikemas Kini : 28 Jul 2023 06:19PM
SINGAPURA: Dalam usaha mengelak sekatan jalan raya polis kerana memandu dalam keadaan mabuk, seorang lelaki meninggalkan keretanya di laluan keluar sebuah bangunan komersial dan meminta pengawal keselamatan bangunan untuk menjaga kenderaannya sebelum melarikan diri dengan berjalan kaki.

Warga Singapura Manikam Varatharaj, 45 tahun, ditahan pihak polis setelah pengawal keselamatan itu berjalan ke arah sekatan jalan raya polis untuk melaporkan apa yang terjadi.

Dia disabit kesalahan dengan satu pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk dan satu lagi pertuduhan meninggalkan kenderaanya di satu tempat sehingga menyusahkan pengguna jalan raya lain.

Pada Jumaat (28 Jul) dia dipenjara tiga minggu, dikenakan denda S$6,800 dan hilang kelayakan memandu selama 42 bulan.

Mahkamah diberitahu bahawa Varatharaj sedang memandu di Woodlands sekitar pukul 2.30 pagi pada 22 September 2019 semasa dia ternampak sekatan jalan raya polis di hadapannya.

Dia kemudian membelok ke sebuah jalan raya kecil yang menuju ke bangunan Seagate dan 3M Singapore sebelum membuat pusingan-U di hujung jalan raya itu dan memberhentikan kenderaannya di depan laluan keluar Seagate.

Varatharaj meminta seorang pengawal keselamatan di pondok pengawal 3M Singapore yang mendekatinya supaya menjaga keretanya kerana dia "perlu segera ke tempat lain".

Pengawal itu sudah memberi amaran kepada Varatharaj bahawa dia akan melaporkan kepada polis jika Varatharaj tidak mengalihkan kenderaannya dari kawasan itu.

Meskipun sudah diberi amaran, Varatharaj tetap meninggalkan kenderaannya dan melarikan diri.

Pengawal itu berkata Varatharaj kelihatan 'cemas' dan berbau alkohol. Kenderaanya itu juga dikatakan sedang menghalang laluan keluar dan akan memaksa kenderaan lain untuk mengelaknya jika mahu keluar dari bangunan Seagate.

Pengawal itu kemudian menuju ke sekatan jalan raya polis dan melaporkan apa yang berlaku kepada seorang pegawai.

Pegawai polis dari Pusat Polis Kejiranan Sembawang yang ke tempat kejadian kemudian menemui dua orang pekerja asing yang tiba dalam sebuah van.

Mereka merupakan pekerja Varatharaj, dan berkata bahawa mereka disuruh oleh bos mereka untuk ke lokasi tersebut.

Sedang mereka berbual, Varatharaj menelefon salah seorang pekerjanya itu. Polis mengambil telefon tersebut untuk bercakap dengan Varatharaj dan dia memberitahu polis supaya berjumpa di rumahnya di Woodlands.

Varatharaj mengaku bahawa dia meminum dua tin arak dan sedang dalam perjalanan ke rumah apabila dia ternampak sekatan jalan raya itu.

Dia memberitahu pegawai bahawa dia ingin mengelak dikesan maka dia meninggkalkan keretanya kerana tidak mahu ditangkap memandu dalam keadaan mabuk untuk kali kedua.

Semasa dibicarakan, Varatharaj berkata bahawa dia tidak nampak sekatan polis dan menghentikan kenderaannya kerana tangan dan kakinya terketar-ketar.

Dia mendakwa bahawa dia meletakkan dua tin arak itu dalam koceknya selepas meninggalkan kenderaannya dan bahawa dia meminumnya di kedai kopi.

Pihak pendakwa meminta hukuman penjara empat hingga enam minggu, denda antara S$8,000 dengan S$10,000 dan larangan memandu selama empat tahun.

Walaupun kesalahan pertama Varatharaj memandu dalam keadaan mabuk adalah 19 tahun lalu pada 2004, dia turut dikenakan denda komposisi kerana menggunakan telefon semasa memandu pada 2011, serta memandu dengan laju pada 2012, kata pendakwa raya.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita