Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki tidak bernegara dijel 5 minggu lontar kata-kata berbaur perkauman kepada juruwang, cekik jururawat

Sedang dia disiasat kerana menghamburkan kata-kata berbaur perkauman berhubung COVID-19 terhadap seorang juruwang, Periyanayagam Appavoo melakukan perkara yang sama kepada seorang jururawat di Hospital Besar Sengkang (SKH).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki tidak bernegara dijel 5 minggu lontar kata-kata berbaur perkauman kepada juruwang, cekik jururawat

Periyanayagam Appavoo di luar mahkamah pada 27 Jul. (Gambar: TODAYonline)

Diterbitkan : 27 Jul 2021 06:18PM Dikemas Kini : 27 Jul 2021 06:22PM

SINGAPURA: Sedang dia disiasat kerana menghamburkan kata-kata berbaur perkauman berhubung COVID-19 terhadap seorang juruwang, Periyanayagam Appavoo melakukan perkara yang sama kepada seorang jururawat di Hospital Besar Sengkang (SKH).

Malah, dia mencekik seorang lagi jururawat yang sedang merawat seorang pesakit sehinggakan pegawai keselamatan terpaksa menahannya di atas katil troli.

Individu tak bernegara yang berusia 52 tahun itu dihukum penjara lima minggu pada Selasa (27 Jul) selepas mengaku bersalah terhadap dua tuduhan gangguan dan satu lagi tuduhan menggunakan kekerasan jenayah.

Sejarah kesalahannya bermula sejak 1988 apabila dia dijatuhi hukuman probesen kerana mencuri sebuah kenderaan bemotor selain menyalah guna dadah dan kesalahan ragut.

Baru-baru ini dia dihukum penjara pada 2019 atas jenayah seperti menganggu seorang pegawai awam, mencuri dan menyebabkan kecederaan dengan sengaja.

Mahkamah diberitahu bahawa dalam kesalahan terbarunya itu, Periyanayagam telah pergi ke cawangan pasar raya NTUC FairPrice di Rivervale Plaza di Sengkang pada 23 April tahun lalu, sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan.

Apabila seorang juruwang mendapati dia cuba memasuki pasar raya itu melalui pintu keluar, wanita itu melarangnya dan memberitahu Periyanayagam untuk pergi dari pintu masuk.

Dia beredar dari situ tetapi tidak lama kemudian kembali dan memarahi pekerja itu dengan kata-kata kesat.

"Kau orang Cina bawa masuk COVID-19 ke Singapura", jeritnya kepada wanita itu dan mengancam untuk memukulnya selepas itu.

Apabila pegawai polis menyoal siasat Periyanayagam, dia mendakwa bahawa dia minum arak sebelum insiden berlaku.

Sedang dia disiasat atas insiden di pasar raya itu, dia mengulangi kesalahan serupa pada 23 Jun.

Dalam insiden tersebut, Periyanayagam telah pergi ke jabatan kemalangan dan kecemasan SKH untuk mendapatkan rawatan kerana mengalami masalah penglihatan berganda.

Dia menjadi resah gelisah di kawasan pemeriksaan dan mencampak borang pendaftaran ke lantai.

Apabila jururawat cuba memeriksanya, dia menjerit ke arah mangsa dan menghamburkan kata-kata kesat.

"Kau orang Cina, orang Cina bodoh. Aku nak doktor India, doktor India sama yang rawat aku sebelum ini," herdiknya sambil menuding jarinya.

Para pegawai keselamatan terpaksa campur tangan dan membawanya ke katil troli berdekatan. Apabila jururawat berkenaan beredar dari tempat itu, dia sekali lagi melontar kata-kata kesat terhadapnya.

Seorang doktor berbangsa India kemudian merawatnya tetapi dia mengadu kulit doktor itu "terlalu cerah" dan enggan dirawat olehnya.

Dia kemudian bangun dari katil, menuju seorang jururawat kanan yang sedang merawat pesakit lain dan dengan tidak semena-mena mencekik jururawat tersebut. Mangsa berjaya menolaknya dan pegawai keselamatan kemudian menahan lelaki tersebut.

Atas kesalahan menggunakan kekerasan jenayah, Periyanayagam boleh dihukum penjara sehingga tiga bulan atau didenda sehingga S$1,500 atau kedua-duanya sekali.

Atas kesalahan menggunakan kata-kata mengancam, kasar dan menghina, dia boleh dijel sehingga setahun atau didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duannya sekali. Mereka yang sabit kesalahan menganggu petugas khidmat awam boleh dikenakan tempoh jel lebih seganda.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan