Lelaki terlibat kes pecah rumah di Bukit Timah dipenjara tujuh bulan
Wu Jinxing diiringi polis ke kawasan hutan berhampiran Holland Road pada 2 Ogos 2024. Dia didakwa secara tidak jujur mengekalkan harta curi yang dikaitkan dengan kes pecah rumah di kawasan itu. (Gambar: CNA/Ili Nadhirah Mansor)
Wu Jinxing, seorang warga China, mengaku bersalah atas satu tuduhan memiliki barangan hasil jenayah yang dilakukan individu lain, Wu Jianxin.
Kedua-dua lelaki terkait dengan sindiket asing yang dipercayai mendalangi sejumlah kes pecah masuk di estet kediaman privet antara Jun dan Ogos.
Pada Julai, Wu Jianxin, 30 tahun, dan seorang lagi lelaki, Huang Ziqian, 35 tahun, memecah masuk sebuah rumah dan mencuri barangan yang mereka sembunyikan di Koridor Kereta Api berhampiran Bukit Sedap Road.
Pada 27 Julai, pukul 2.30 pagi, Wu Jianxin menawarkan Wu Jinxing 30,000 yuan (S$5,600) untuk ke Singapura dengan segera selama sehari, untuk mengambil beg tangan dan jam tangan baginya.
Wu Jianxin mengarahkannya untuk menempah penerbangan pergi balik ke Hong Kong dan bukan Shenzhen, dan berjanji untuk membayar kos perbelanjaan perjalanannya.
Wu Jinxing tahu dia ditawarkan sejumlah wang yang besar kerana perjalanan tersebut melibatkan aktiviti haram, kata Timbalan Pendakwa Raya Janessa Phua.
Dia bersetuju dan menempah penerbangan ke Singapura, mendarat kira-kira tengah hari pada hari yang sama, dan mengikut arahan Wu Jianxin untuk menaiki teksi ke Chinatown.
Pada kira-kira pukul 4.00 petang, atas arahan Wu Jianxin, dia membeli beg galas, kemudian menaiki kereta api ke stesen MRT Buona Vista dan berjalan ke laluan basikal di Koridor Kereta Api.
Dengan arahan Wu Jianxin yang diberikan melalui panggilan video, Wu Jinxing memanjat cerun yang dipenuhi tumbuh-tumbuhan tebal dan mencari suatu tempat di bawah pokok.
Dia menemui beg Hermes Birkin berwarna jingga bernilai kira-kira S$45,000 yang disembunyikan di bawah beberapa paip dan daun. Terdapat tiga jam tangan mewah di dalam beg tersebut, dengan jam paling berharga bernilai kira-kira S$165,000, serta wang tunai dalam pelbagai mata wang.
Wu Jinxing mengambil barang yang dicuri itu dan mendaftar masuk ke sebuah hotel di Geylang sekitar pukul 7.00 malam. Dengan Wu Jianxin mengawasinya melalui panggilan video, dia mengosongkan kandungan beg itu ke atas katil.
Kira-kira pukul 8.00 malam, Wu Jinxing diarahkan untuk menaiki teksi ke pasar raya yang berada berhampiran 17 dan 19 Bukit Sedap Road, dan Holland Road, serta berjalan ke sebuah dinding tinggi di belakang.
Sebelum ini, polis menemui 12 beg Hermes, barang kemas dan wang tunai dicuri Wu Jianxin dan Huang dari rumah lain dan disembunyikan di dalam semak di belakang.
Polis sedang menunggu penjenayah pulang dan mengambil barang yang dicuri itu.
Apabila Wu Jinxing tiba di dinding tersebut, dia diberkas. Wu Jinxing dibawa balik ke bilik hotel, di mana polis menemui barang yang dicuri dalam beg Birkin berwarna jingga.
Wu Jianxin dan Huang masih bebas, kata pendakwa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.