Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki terbabit rusuhan Chinatown semasa "circuit breaker" didapati bersalah

Seorang lelaki berusia 24 tahun yang terbabit dalam satu pergaduhan di Chinatown semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan dan mencetuskan operasi pencarian di merata Singapura didapati bersalah pada Jumaat (4 Feb) atas beberapa kesalahan termasuk merusuh dan melanggar peraturan jarak selamat COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 24 tahun yang terbabit dalam satu pergaduhan di Chinatown semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan dan mencetuskan operasi pencarian di merata Singapura didapati bersalah pada Jumaat (4 Feb) atas beberapa kesalahan termasuk merusuh dan melanggar peraturan jarak selamat COVID-19.

Muhammad Syukri Muhammad Iskandar disabit kesalahan atas dua tuduhan merusuh dengan senjata berbahaya, satu tuduhan menjadi anggota kumpulan kongsi gelap dan satu tuduhan melanggar peraturan COVID-19 mengenai perhimpunan sosial.

Dia mengaku bersalah terhadap kesemua empat tuduhan dengan lagi lima tuduhan diambil kira dalam menentukan hukuman.

Menurut dokumen mahkamah, Syukri, yang merupakan rakyat Singapura, berkumpul bersama empat lagi lelaki pada sekitar pukul 3.30 pagi 10 Mei 2020 di People's Park Centre dengan niat menyebabkan kecederaan terhadap satu lagi kumpulan.

Ini setelah salah seorang tertuduh bersama, Muhammad Roslan Mohamed Rumli, 29 tahun, tersilap sangka bahawa teman wanitanya ditahan secara paksa oleh anggota kumpulan lawan.

Roslan kemudian menghubungi tertuduh dan beberapa lagi individu untuk menemaninya mencari temanitanya itu di sebuah unit di People's Park Centre.

Satu pergaduhan berlaku, dengan sesetengah daripada tertuduh bersama membawa pisau. Syukri pula membawa topi keledar ketika pergaduhan itu berlaku.

Syukri dan dua lagi tertuduh bersama - Noor Najat Alwi, 20 tahun dan Muhammad Farid Surian, 20 tahun - tertera dalam dokumen sebagai anggota kumpulan kongsi gelap yang sama.

Rusuhan itu menyebabkan beberapa kecederaan serius, dengan seorang mangsa ditemui berlumuran darah apabila polis tiba di tempat kejadian.

Syukri diarah hadir semula di mahkamah untuk mendengar hukumannya pada 29 Mac.

Secara keseluruhan, 12 lelaki termasuk Syukri didakwa berkaitan rusuhan di Chinatown itu. Selain daripada Roslan, yang kesnya masih belum dibicarakan di mahkamah, kesemua tertuduh bersama sudah dijatuhi hukuman.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan