Skip to main content

Singapura

Lelaki Taiwan terkait sindiket jenayah diberkas atas penipuan kad kredit di Far East Plaza

Seorang lelaki warga Taiwan diberkas pada Rabu (26 Feb) selepas dia membuat transaksi kad kredit yang mencurigakan di sebuah kedai di Far East Plaza.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki Taiwan terkait sindiket jenayah diberkas atas penipuan kad kredit di Far East Plaza

Lelaki tersebut membeli kad eGift Razer Gold bernilai S$1,110 dari beberapa kedai 7-11 sebelum ditangkap. (Gambar: Pasukan Polis Singapura)

Diterbitkan : 28 Feb 2025 12:29PM Dikemas Kini : 28 Feb 2025 12:30PM
SINGAPURA: Seorang lelaki warga Taiwan diberkas pada Rabu (26 Feb) selepas dia membuat transaksi kad kredit yang mencurigakan di sebuah kedai di Far East Plaza.

Dalam kenyataannya, pihak polis menyatakan pada Khamis (27 Feb) bahawa pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian tersebut yang berlaku di sebuah kedai telefon bimbit di pusat beli-belah itu.

Lelaki berusia 26 tahun itu diberkas di tempat kejadian dengan bantuan pemilik kedai dan pegawai keselamatan.

Siasatan awal mendapati lelaki itu tiba di Singapura awal pada hari yang sama dan dipercayai bekerja untuk sindiket jenayah luar negara, menurut polis.

Dia juga dipercayai menggunakan kaedah pembayaran tanpa sentuh, juga dikenali sebagai pembayaran mudah alih komunikasi jarak dekat (NFC), dikaitkan dengan butiran kad kredit yang dicuri untuk membuat pembelian palsu di pelbagai lokasi di negara ini.

"Modus operandinya dipercayai telah menipu pelbagai perniagaan, dengan lelaki itu berjaya membeli kad eGift Razer Gold bernilai S$1,110 daripada pelbagai kedai 7-11 sebelum dia ditangkap," kata polis.

Kad hadiah dan tiga telefon bimbit turut dirampas.

Razer Gold ialah mata wang maya oleh syarikat permainan Razer. Ia boleh digunakan untuk membuat pembelian dan membeli kredit melalui platform permainan.

Dia akan didakwa di mahkamah pada Jumaat. Jika didapati bersalah kerana menipu, dia berdepan hukuman penjara selama 10 tahun dan didenda.

"Penggunaan kad kredit tanpa kebenaran atau kad debit orang lain adalah kesalahan yang serius," polis memberi amaran, sambil menambah bahawa polis memandang serius terhadap sesiapa yang melakukan penipuan.

"Pelaku akan dihukum mengikut undang-undang."

Polis menasihatkan orang ramai supaya mengambil tindakan segera sekiranya kad kredit atau debit hilang atau dicuri.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita