Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki sudah berumah tangga dera teman wanita sehingga mati dek hubungan sulit dengan orang lain

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki sudah berumah tangga dera teman wanita sehingga mati dek hubungan sulit dengan orang lain

(Gambar: CNA/Try Sutrisno Foo)

SINGAPURA: Seorang lelaki yang sudah berumah tangga menjalinkan hubungan sulit namun mula mendera teman wanitanya disebabkan hubungan wanita itu dengan lelaki lain. Penderaan itu akhirnya menyebabkan kematian wanita berkenaan.

M Krishnan, seorang warga Singapura berusia 40 tahun, mengaku bersalah di mahkamah pada Jumaat (12 Apr) atas satu tuduhan membunuh tanpa niat.

Mangsa, warga Singapura 40 tahun, Mallika Begum Rahamansa Abdul Rahman, mati akibat kecederaan di kepala pada 17 Januari 2019, selepas berulang kali dipukul Krishnan.

Mahkamah diberitahu bahawa Krishnan dan Cik Mallika bertemu pada 2015. Mereka memulakan hubungan tidak lama kemudian, meskipun Krishnan masih suami orang.

Pada November 2015, isteri Krishnan pulang ke rumah dan melihat Krishan dan Cik Mallika meminum arak di bilik tidur utama.

Isteri Krishnan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap mereka dan Krishnan yang naik berang terus menumbuk muka isterinya dan mengambil sebotol arak.

Disebabkan takut dipukul dengan botol itu, isteri Krishnan memohon maaf dan kemudian mendapat
Perintah Perlindungan Peribadi (PPO) terhadap suaminya. Pasangan tersebut masih lagi suami isteri sehingga hari ini.

Krishnan meneruskan hubungannya dengan Cik Mallika sehingga dia meninggal dunia. Dia mengaku memukulnya sekurang-kurangnya sekali pada 2017, disebabkan "perkara remeh", namun penderaan itu menjadi lebih teruk selepas Januari 2019.

Ini selepas Cik Mallika mengaku dia menjalinkan hubungan seksual bersama lelaki lain, seperti semasa Krishnan berada di dalam penjara antara Oktober 2018 hingga Disember 2018.

PENDERAAN

Pada 15 Januari 2019, sehari sebelum terjadinya penderaan itu, Cik Mallika membuat pengakuan yang sama ketika meminum arak di flat Krishnan.

Krishnan bertindak dengan menampar, menendang tulang rusuk dan peha Cik Mallika.

Cik Malikka merayu supaya Krishnan tidak meninggalkannya, tetapi Krishnan merenggut leher Cik Mallika dan menolaknya, menyebabkan wanita itu terjatuh dan kepalanya terhantuk pada almari pakaian.

Cik Malikka pergi ke hospital pada keesokan hari dengan kesan lebam pada pinggulnya, dan beberapa kesan luka pada bahagian muka, tangan dan lengannya.

Sementara itu, Krishnan meminum arak sepanjang hari pada 16 Januari 2019.

Pada malam itu, pasangan tersebut bercakap dengan salah seorang adik perempuan Cik Mallika mengenai hubungannya dengan lelaki lain.

Selepas panggilan itu berakhir pada kira-kira pukul 11.30 malam, Krishnan berasa marah atas hubungan Cik Mallika dengan lelaki lain, lalu mula memukulnya lagi.

Dia menampar muka Cik Mallika menarik rambut, menumbuk dan menendangnya, meskipun Cik Mallika terbaring di lantai.

Selepas mengangkatnya ke katil, Krishnan menyedari bahawa Cik Mallika tidak bernafas atau bergerak.

Dia menghubungi Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) untuk mendapatkan bantuan pada kira-kira pukul 1.40 pagi pada 17 Januari 2019.

Pegawai SCDF menemui Cik Mallika terbaring di atas katil, dengan kesan darah. Dia disahkan mati kira-kira pukul 1.50 pagi.

Krishnan menyerahkan dirinya di Kompleks Polis Cantonment pada pukul 1.00 tengah hari, pada hari tersebut dan diberkas.

KECEDERAAN CIK MALLIKA, KEADAAN MINDA KRISHNAN

Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian Cik Mallika sebagai "kecederaan pada bahagian kepala". Beberapa kecederaan lain juga disenaraikan.

Ini termasuk beberapa tulang rusuk yang patah, kesan lebam pada seluruh tubuhnya, pendarahan di kepala dan "pergerakan garis tengah" otak.

Krishnan menjalani penilaian psikiatri dan didapati mengalami gangguan emosi pada masa kesalahan dilakukan. Meskipun dalam keadaan mabuk, pakar psikiatri menetapkan bahawa tiada kaitan antara kesan mabuk, penyakit mental dan kesalahan yang dilakukan.

Kes tersebut akan dibicarakan lagi pada 19 April.

Terdapat dua hukuman bagi kesalahan membunuh tanpa niat: Hukuman penjara seumur hidup dan sebatan, atau hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan