Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki Sri Lanka dijel 1 bulan; kumpulan WhatsApp disertainya kongsi video lucah, bahan aniaya kanak-kanak

Lelaki warga Sri Lanka berusia 25 tahun itu, yang berada di Singapura atas pas pelajar, dihukum penjara sebulan pada Isnin (7 Feb). Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan memiliki bahan penderaan kanak-kanak.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Apabila rakan Kolambag Dhanushka Chamara Perera memasukkannya ke dalam sebuah kumpulan sembang WhatsApp yang disertai warga Sri Lanka yang lain, dia akhirnya memuat turun secara automatik video-video lucah. Ini termasuk video yang memaparkan perbuatan meliwat dan seks luar tabii dan penganiayaan kanak-kanak.

Tindakan Perera terbongkar hanya setelah para pegawai polis ternampak dia berkelakuan mencurigakan di sebuah stesen MRT dan mereka memeriksa telefon bimbitnya.

Lelaki warga Sri Lanka berusia 25 tahun itu, yang berada di Singapura atas pas pelajar, dihukum penjara sebulan pada Isnin (7 Feb). Dia mengaku bersalah atas satu tuduhan memiliki bahan penderaan kanak-kanak.

Satu lagi tuduhan memiliki video-video lucah dipertimbangkan ketika menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu pas pelajar Perera hampir tamat tempoh akhir pada 2020 apabila rakannya memperkenalkannyadengan seseorang bernama Hindakumbure Charindu Dilshan Rajapaksha. Lelaki dalam usia lingkungan 20-an tahun itu dikatakan mengenali beberapa orang yang bersedia untuk mengambil alih unit sewa Perera.

Dilshan kemudian mengajak Perera menyertai kumpulan sembang WhatsApp bernama “Singapore Boys Wela group”, di mana Dilshan adalah pentadbirnya.

Dilshan dan rakan-rakan sebiliknya menubuhkan kumpulan sembang itu untuk berkongsi maklumat atau berita tentang kampung halaman mereka serta mengajak warga Sri Lanka yang lain untuk menyertainya. Namun tidak lama kemudian, para anggota kumpulan sembang itu mula mengongsikan bahan-bahan lucah.

Perera menyertai kumpulan sembang itu beberapa bulan sebelum Ogos 2020. Seting pada WhatsApp Perera membolehkan video dan gambar yang dikirimkan oleh orang lain dimuat turun secara automatik ke dalam galeri gambar telefon bimbitnya.

Walaupun Perera sudah memadam beberapa video lucah yang diterimanya daripada kumpulan tersebut, para peserta lain pula mula mengongsikan lebih banyak bahan berunsur lucah itu.

Mahkamah diberitahu bahawa semasa siasatan dijalankan, Perera berkata dia "tidak begitu berminat" dengan video lucah yang melibatkan budak bawah umur dan memadamkannya tetapi mungkin "kadang-kadang terlepas pandang" beberapa di antaranya kerana ada "terlalu banyak".

Perera juga berkata selepas dia ditangkap, dia mematikan fungsi muat turun secara automatik pada WhatsAppnya.

Dia diberkas pada 6 Ogos 2020 apabila para pegawai dari Markas Keselamatan Pengangkutan Awam Polis yang sedang menjalankan rondaan ternampak Perera berkelakuan mencurigakan di Stesen MRT Lavender.

Apabila para pegawai itu bercakap dengannya, mereka menjalankan pemeriksaan dan mendapati kad debit kepunyaan orang lain. Perera bagaimanapun dapat membuktikan bahawa rakan sebiliknya telahpun meminjamkan kad itu kepadanya.

Bagaimanapun, para pegawai kemudian terlihat dia menganggotai sebuah kumpulan sembang dengan gambar paparan menunjukkan bayangan seorang lelaki dan wanita seakan-akan sedang mengadakan hubungan seks.

Para pegawai membuka kumpulan sembang itu dan ternampak ia mempunyai 256 peserta serta lebih 6,000 fail media, beberapa di antaranya adalah pornografi kanak-kanak.

Mereka kemudian memberkas Perera dan merampas iPhone 7 miliknya. Daripada semua fail video yang dimuat turun secara automatik itu, 2,968 diklasifikasikan sebagai lucah oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) manakala 25 mengandungi bahan penganiayaan kanak-kanak.

Julat usia kanak-kanak yang dipaparkan dalam bahan lucah itu berbeza-beza, segelintir daripada mereka kelihatan belum baligh.

Dilshan juga didakwa dan kesnya sedang menanti keputusan mahkamah. Dia dituduh mengedarkan bahan penganiayaan kanak-kanak dalam kumpulan sembang tersebut.

Sesiapa saja yang didapati bersalah kerana memiliki atau mendapatkan akses kepada bahan penderaan kanak-kanak boleh dipenjara sehingga lima tahun serta juga boleh didenda atau dikenakan sebatan rotan.

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan