Lelaki S'pura ini pendaki paling tua tawan puncak gunung tertinggi di Filipina
(Gambar: Peter Chong)
SINGAPURA: Pada 2010, warga Singapura Peter Chong memasuki sebuah kedai di Baguio, Filipina, apabila beliau melihat sebuah poster besar yang memaparkan Gunung Pulag, iaitu gunung ketiga tertinggi di negara tersebut yang terkenal dengan pemandangan yang menakjubkan.
"Saya tidak tahu sedikitpun tentangnya," kata Encik Chong, 80 tahun, kepada Mediacorp pada Isnin (30 Mei).
"Saya berasa sangat takjub. Jadi saya bertanya kepada kakitangan kedai itu mengenainya."
Apabila beliau mengunjungi kedai itu sekali lagi untuk mencetak gambar-gambar, kakitangan kedai itu memberitahu beliau bahawa sebuah kumpulan akan mendaki Gunung Pulag tidak lama lagi lalu memberinya nombor untuk dihubunginya sekiranya beliau berminat.
"Peluang" tersebut, seperti yang disifatkan oleh Encik Chong, mencetuskan minatnya untuk mula mendaki gunung pada usia 69 tahun.
Pertama dalam senarainya ialah Gunung Pulag setinggi 2,928 meter dan beliau hampir-hampir tidak berjaya.
Encik Chong mula mendaki pada waktu malam dan beliau hampir-hampir berputus asa sebelum sampai ke puncaknya.
"Saya tidak tahu puncak itu hanya 20 meter lagi," katanya.
"Pemandu pelancong itu ketawa apabila dia berkata, 'Anda sedang berada di puncak!'"
Lebih 10 tahun kemudian, Encik Chong sudah mendaki enam gunung di Filipina, termasuk Gunung Pulag tiga kali dan Gunung Cabuyao, yang lebih rendah, sekurang-kurangnya lima kali.
Gunung Cabuyao lebih mudah baginya kerana tempat permulaan pendakiannya adalah di Baguio, di mana Encik Chong tinggal bersama isterinya, seorang warga Filipina.
Namun Encik Chong tidak sabar untuk menambah satu lagi gunung tempatan ke dalam senarainya, iaitu Gunung Apo, setinggi 2,954 meter di atas paras laut.
Ia adalah gunung tertinggi di negara itu dan Encik Chong mengakui bahawa kemungkin mendaki sehingga puncaknya adalah lebih menarik.
"Mendaki gunung adalah hobi saya," kata Encik Chong menerusi WhatsApp. "Saya sudah lama berfikir untuk mendaki Apo. Saya tidak dapat melakukannya lebih awal kerana ditutup selama dua tahun akibat COVID-19."
Dalam bulan Mei, dia menjadi individu paling tua yang berjaya mendaki Gunung Apo.
REKOD BARU
Setelah Encik Chong turun kembali ke tapak permulaan pendakian, beliau disambut oleh sekumpulan orang termasuk Cik Griffin, seorang pegawai pelancongan.
Pertemuan itu dirakam dalam video yang disiarkan pada hari yang sama di Facebook rasmi pemerintah tempatan Digos.
Cik Griffin menghadiahkan Encik Chong sejambak bunga dan berkata beliau sudah memecahkan rekod sebagai pendaki paling tua Gunung Apo.
Encik Chong menjawab bahawa mendaki gunung itu adalah "pengembaraan sepanjang hidup saya".
Ketika ditanya bagaimana perasaannya tentang penerimaan itu, Encik Chong memberitahu Mediacorp bahawa beliau "sangat terkejut tetapi sangat gembira".
"Begitu gembira kerana diberi sejambak bunga," katanya sambil menambah bahawa ia adalah yang pertama yang pernah diterimanya.
Encik Chong berkata dia sudah lama merancang untuk mendaki Gunung Apo "sebelum" diberitahu tentang rekod umur itu.
Beliau tidak mempunyai rancangan untuk mendaki gunung lain buat masa ini. Ini menunjukkan bahawa beliau melakukannya hanya "untuk suka-suka".
Tetapi satu perkara yang jelas: Encik Chong tidak akan berhenti menjalani gaya hidupnya yang aktif.
"Usia hanya sekadar angka. Jangan biarkan ia menghalang anda daripada melakukan aktiviti-aktiviti fizikal; atau sebarang jenis aktiviti yang boleh meningkatkan kesihatan," tambahnya.
"Dan anda boleh mendaki gunung."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.