Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki S'pura dibicara atas tuduhan bunuh mungkin melutut di bahu isteri, tekup dengan bantal

Ahli patologi forensik mengesahkan punca kematian sebagai lemas.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki S'pura dibicara atas tuduhan bunuh mungkin melutut di bahu isteri, tekup dengan bantal

Pek Ying Ling dibunuh suaminya Fong Soong Hert pada Disember 2021. (Gambar: Facebook/Northumbria Police)

LONDON: Mahkamah di United Kingdom (UK) diberitahu lelaki rakyat Singapura yang didakwa membunuh mungkin melutut di bahu isterinya sambil menekup wanita itu dengan bantal.

Fong Soong Hert, yang dirujuk sebagai Alan Fong, sedang menjalani perbicaraan atas tuduhan membunuh di Mahkamah Newcastle Crown di bahagian timur laut England.

Dia menolak dakwaan itu dan dijadual hadir ke mahkamah pada Khamis (4 Ogos).

Isterinya, Pek Ying Ling, yang dikenali sebagai Evelyn Pek, ditemui mati dalam bilik hotel di Newcastle pada 6 Disember 2021.

Pasangan itu melakukan perjalanan ke Dubai, Croatia dan Scotland sebelum melawat anak mereka, Alonzo, yang menuntut di Newcastle.

Pada hari ketiga perbicaraan itu, juri mendengar keterangan dari ahli patologi Jennifer Bolton.

Beliau menjalankan bedah siasat ke atas tubuh Pek bagi memahami kecederaan yang wujud dan bagaimana ia menyumbang kepada kematian ibu tiga anak itu.

Dr Bolton berkata Pek memakai seluar panjang ketat berwarna hitam, baju hitam dan seluar dalam hitam, yang mempunyai kesan air kencing.

Ahli patologi forensik itu menjelaskan setiap kecederaan pada tubuh Pek kepada juri.

Sebanyak 11 kesan lebam dan pendarahan berbentuk titik-titik kecil di bawah kulit, ditemui di dagu, bahu, lengan dan buku lali.

Dr Bolton mengesahkan punca kematian sebagai lemas. Beliau menarik perhatian kepada dua kesan lebam yang simetri pada bahu Pek dan berkemungkinan dilakukan pada waktu yang sama.

Mewakili pihak pembela, Toby Hedworth QC mempersoalkan sama ada ini bermakna penyerang itu perlu "dapat bergerak dengan agak mudah" untuk duduk di atas Pek.

Beliau juga bertanya sama ada salah satu arteri koronari - saluran darah jantung - Pek yang menyempit, turut ditemui semasa bedah siasat, memainkan peranan dalam kematiannya.

Dr Bolton mengesahkan ia tidak berkemungkinan menyebabkan kematiannya tetapi mungkin bermaksud bahawa "kematian berlaku dengan lebih cepat".

Mahkamah kemudian mendengar dari Konstabel Detektif Mark Wedderburn dan Konstabel Detektif Joanne Glendenning yang terlibat dalam mengumpul bahan bukti bagi kes itu.

Ini termasuk gambar-gambar tambak di luar The Bosville Hotel di Isle of Skye, di mana Alan Fong dan Pek menginap buat beberapa hari sebelum wanita itu meninggal dunia.

Encik Fong dipercayai tersandung paip dalam gelap dan jatuh sekitar sedalam 15 meter.

Encik Fong mengalami beberapa kecederaan di mana dia dibawa ke Hospital MacKinnon Memorial dan dimasukkan ke hospital semalaman serta diberi beberapa ubat penahan sakit termasuk morphine dan codeine.

Mahkamah juga mendengar rakaman panggilan 999 yang dibuat anak pasangan itu, Alonzo, kepada khidmat kecemasan sejurus sejurus selepas pukul 7.00 pagi pada 6 Disember.

Alonzo didengar berkata: "Okey, dia beritahu saya, saya rasa mereka bertengkar dan kemudian saya rasa dia hilang pertimbangan.

"Dan kemudian dia beritahu saya dia tutup mukanya hanya untuk membuatnya diam... dia beritahu saya (Pek) tidak bernafas juga, jadi boleh saya dapatkan anggota paramedik sekali?"

Pengendali panggilan itu juga didengar berkata kepada rakan sekerjanya: "Dia rasa bapanya bunuh ibunya di hotel".

Rakaman CCTV dari Country Aparthotel di Westgate Road, Newcastle, menunjukkan para pegawai polis memasuki lobi dan bergegas di koridor.

Rakaman daripada kamera yang disarungkan pada tubuh menunjukkan Encik Fong membuka pintu dan berdiri di koridor, seperti yang diarahkan.

Tubuh Pek kemudian kelihatan terbujur dengan kakinya tergantung di hujung katil dan mukanya ditutupi bantal.

Apabila pekerja ambulans tiba pada 7.30 pagi, mereka didengar bertanya kepada Encik Fong: "Berapa lama dia sudah berada dalam keadaan begini?"

Dia menjawab: "Saya tidak tahu."

Pekerja itu bertanya lagi: "Anda tidak tahu?" dan Encik Fong menjawab: "Mungkin agak lama".

Perbicaraan kes akan bersambung.
Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan