Skip to main content

Singapura

Lelaki SG maut ketika daki Gunung Kilimanjaro

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki SG maut ketika daki Gunung Kilimanjaro

Gunung Kilimanjaro di Tanzania. (Gambar: AP/Ben Curtis)

SINGAPURA: Seorang lelaki Singapura maut ketika cuba mendaki Gunung Kilimanjaro di Tanzania.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, seorang jurucakap Kementerian Ehwal Luar (MFA) berkata pada Ahad (13 Ogos) bahawa "pihaknya telah menghulurkan bantuan konsular dan sokongan kepada keluarga mendiang".

"MFA menzahirkan ucapan takziah sedalam-dalamnya kepada keluarganya."

Seorang rakan pendaki terbabit memberitahu 8World bahawa individu yang maut itu ialah Darrel Phee Chin Ann dan beliau berusia 28 tahun.

Satu catatan Facebook oleh sebuah agensi pelancongan tempatan - Adventures Unlimited - pada 2 Ogos menunjukkan sekumpulan pelancong di Lapangan Terbang Changi. Tertulis pada catatan itu: "Ayuh sertai perjalanan kami menguji daya tahan diri dan cuba menakluki gunung tertinggi di Afrika!"

Menurut satu lagi catatan dalam kumpulan tertutup Facebook agensi itu, paras oksigen pada tubuh Encik Phee turun dengan begitu mendadak sementara degupan jantungnya pula naik pada pagi hari pendakian dilakukan.

Selaras protokol keselamatan, Encik Phee diminta tidak meneruskan hasratnya mendaki gunung itu dan sebaliknya kembali ke kem pangkalan bersama seorang pemandu.

Namun, keadaan Encik Phee semakin teruk dan beliau akhirnya meninggal dunia akibat paru-paru bengkak disebabkan berada di tempat yang tinggi, menurut 8World.

Masalah yang dihadapi - juga dipanggil high altitude pulmonary edema (HAPE) - boleh membawa maut dan terjadi apabila cecair memasuki paru-paru sehingga menghambat pertukaran oksigen secara berkesan ke dalam darah.

Satu jurnal yang diterbitkan Perpustakaan Perubatan Kebangsaan Amerika Syarikat pada 2012 menyatakan HAPE adalah "salah satu punca kematian paling lazim berkaitan berada di tempat yang tinggi".

Setinggi 5,895 meter, Gunung Kilimanjaro adalah gunung tertinggi di Afrika. Meskipun ia popular dalam kalangan pengembara, "dengan lebih 50 peratus pendaki jatuh sakit semasa mendaki, ia satu trek gunung dengan ketinggian ekstrem," menurut laman 'Climbing Kilimanjaro'.

Kemalangan maut di gunung itu jarang berlaku, iaitu dengan kemungkinan kurang 1 peratus, jelas Adventures Unlimited menerusi catatan Facebooknya.

Namun agensi pelancongan itu menambah bahawa ketinggian, keadaan cuaca ekstrem, kecergasan fizikal pendaki dan cabaran fizikal lain tetap boleh mengakibatkan korban jiwa.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita