Skip to main content

Singapura

Lelaki SG disabit kesalahan bunuh adik perempuan selepas mangsa didera, dibiar kelaparan

Seorang lelaki warga Singapura disabitkan kesalahan membunuh adik perempuannya yang berusia 19 tahun, selepas mangsa didera secara berpanjangan sehingga meninggal dunia pada Mei 2021.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki SG disabit kesalahan bunuh adik perempuan selepas mangsa didera, dibiar kelaparan

Bangunan Mahkamah Agung Singapura. (Gambar: CNA)

Diterbitkan : 05 Nov 2026 01:22PM
Singapore man convicted of murdering younger sister after she was abused and left hungry
  • A Singapore court convicted Huang Bocan of murdering his younger sister, Huang Baoying, who died on May 5, 2021, after being abused for several months.
  • Bocan, his girlfriend Chee Mei Wan and Lim Peng Tiong confined Baoying in a toilet, beat her, left her hungry and forced her to exercise despite her injuries and worsening weakness.
  • All three knew Baoying through Chee’s Herbalife products company. Baoying began living with her brother at Lim’s home in July 2020 after falling out with their father over spending on products.
  • Lim has been sentenced to 14 years and 11 months’ jail, while Chee’s case is ongoing. Bocan faces the death penalty or life imprisonment and caning.
Dijana oleh AI

Amaran: Artikel ini mengandungi butiran penderaan fizikal yang teruk dan mungkin mengganggu emosi pembaca.

SINGAPURA: Seorang lelaki warga Singapura disabitkan kesalahan membunuh adik perempuannya yang berusia 19 tahun, selepas mangsa didera secara berpanjangan sehingga meninggal dunia pada Mei 2021.

Huang Bocan, 35 tahun, didapati bersalah pada Khamis (5 Nov) kerana menyebabkan kematian adiknya, Huang Baoying, yang dipukul, dibiarkan kelaparan dan dirantai dalam tandas.

Bocan melakukan penderaan itu bersama teman wanitanya, Chee Mei Wan, dan seorang lagi lelaki, Lim Peng Tiong.

Mangsa meninggal dunia pada 5 Mei 2021 akibat kecederaan teruk disebabkan pukulan benda tumpul serta kekurangan zat makanan yang serius.

Berat badannya susut daripada 48.8 kilogram kepada hanya 27.6 kilogram, iaitu penurunan sekitar 43 peratus.

MANGSA DIKURUNG DALAM TANDAS, DIPAKSA BERSENAM

Mahkamah diberitahu bahawa mangsa mengenali ketiga-tiga individu tersebut pada 2018 melalui sebuah syarikat penjualan produk Herbalife, Colourful Nutrifit, yang dikendalikan Chee.

Baoying kemudian berpindah bersama abangnya ke rumah Lim pada Julai 2020, selepas berlaku perselisihan dengan bapa mereka berhubung perbelanjaan membeli produk syarikat itu.

Pada Februari 2021, ketiga-tiga individu tersebut mewujudkan kumpulan WhatsApp untuk memantau dan melaporkan kesilapan yang didakwa dilakukan mangsa.

Penderaan terhadap Baoying semakin teruk dalam beberapa bulan sebelum kematiannya.

Antara Februari hingga Mei 2021, Bocan dan Chee mengurung mangsa dalam tandas untuk tempoh yang panjang.

Walaupun semakin lemah dan mengalami kecederaan, Baoying masih dipaksa melakukan senaman termasuk mencangkung.

Sehari sebelum kematiannya, mangsa dihukum selepas gagal melakukan senaman seperti diarahkan.

Pada awal pagi 5 Mei 2021, Baoying ditemui tidak memberikan sebarang respons.

Bocan menghubungi talian kecemasan 995 sekitar pukul 6.02 pagi dan diarahkan melakukan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) terhadap adiknya.

Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia tidak lama selepas pasukan paramedik tiba.

Laporan bedah siasat mendapati mangsa mengalami kekurangan zat makanan yang teruk, jangkitan darah atau sepsis serta kecederaan akibat pukulan benda tumpul.

SEORANG LAGI LELAKI SUDAH DIHUKUM PENJARA

Lim sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 14 tahun 11 bulan pada Mei lalu berhubung kes tersebut.

Kes terhadap Chee pula masih berjalan di mahkamah.

Pihak pendakwaan menyatakan bahawa kematian Baoying berpunca daripada tindakan ketiga-tiga individu berkenaan.

Bocan boleh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan selepas disabitkan kesalahan membunuh.

Sumber : CNA/FD/fd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita