Lelaki SG berdepan hukuman mati di Johor atas tuduhan dadah
Seorang lelaki warga Singapura didakwa di Johor pada Selasa (6 Mei) atas tuduhan mengedar dan memiliki lebih 10kg dadah.
Warga Singapura, Tan Ban Choon, berdepan hukuman mati di Malaysia atas tuduhan memiliki dan mengedar lebih 10kg dadah. (Gambar: iStock/D-Keine)
Tan Ban Choon, 47 tahun, didakwa atas satu pertuduhan mengedar 10.024kg 3,4-methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dalam bentuk serbuk, menurut laporan media tempatan Malaysia yang memetik dokumen mahkamah. MDMA lebih dikenali sebagai ekstasi.
Tan, yang tidak bekerja, turut didakwa atas empat pertuduhan memiliki dadah – iaitu 9g heroin, 44g ganja, 6g serbuk MDMA dan 31.3g ketamin.
Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah apartmen di Danga Bay pada 23 April, sekitar pukul 10.00 malam.
Jika sabit kesalahan mengedar dadah, Tan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 15 sebatan.
Bagi kesalahan memiliki dadah, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda sehingga RM100,000 (S$30.7 ribu) atau kedua-duanya sekali.
Tan juga didakwa di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 yang mengehadkan pemilikan candu mentah, daun koka, popi kering dan ganja. Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan hukuman penjara antara dua hingga lima tahun dan tiga hingga sembilan sebatan.
Tan, yang didakwa di Mahkamah Sesyen Johor, tidak diwakili peguam dan tidak ditawarkan ikat jamin. Beliau hanya mengangguk selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi, berdasarkan laporan Malay Mail.
Kes itu akan disebut semula pada 29 Julai sementara menantikan laporan kimia.
Mediacorp telah menghubungi Kementerian Ehwal Luar untuk maklumat lanjut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.