Lelaki SG akan didakwa atas kesalahan menggodam selepas diusir dari Thailand
Seorang lelaki berusia 34 tahun diberkas pada Isnin (25 Ogos), selepas diusir dari Thailand, kerana disyaki menggodam beberapa akaun pelanggan NTUC FairPrice dan Zalora untuk membuat pembelian online dengan cara menipu.
Ong Jian Zhen, 34 tahun, diberkas di Singapura pada 25 Ogos 2025 kerana disyaki menggodam beberapa akaun NTUC FairPrice dan Zalora untuk membuat pembelian palsu secara online. (Gambar: Pasukan Polis Singapura)
Ong Jian Zhen sebelum ini melarikan diri semasa diikat jamin selepas didakwa pada Oktober 2021 atas kesalahan melakukan penipuan. Dia gagal hadir di sesi perbicaraan seterusnya, dan pada September 2022, waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.
Polis berkata bahawa mereka menerima beberapa laporan berhubung akaun pelanggan NTUC FairPrice dan Zalora yang digodam antara Julai dengan November 2022.
Akaun-akaun yang digodam itu digunakan untuk membuat pembelian berjumlah sekurang-kurangnya S$25,000, menurut polis, sambil menambah bahawa Ong dipercayai bersubahat dengan sekurang-kurangnya enam individu lain.
Pasukan Polis Singapura (SPF) bekerjasama dengan pihak berkuasa di luar negara untuk menjejak pergerakannya.
Dia ditangkap pihak berkuasa Thailand pada Oktober 2022 dan dipenjarakan di negara itu atas kesalahan berkaitan dadah dan imigresen.
Pada 30 Julai tahun ini, dia dibebaskan dari penjara dan ditahan di pusat tahanan imigresen sebelum dihantar pulang ke Singapura dengan bantuan Polis Diraja Thai.
Dia diberkas setibanya di Singapura pada Isnin.
Ong akan didakwa pada Selasa atas kesalahan mengakses bahan komputer tanpa kebenaran.
Jika sabit kesalahan, Ong boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.