Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki sembunyi 9 bulan di Batam, elak diberkas atas serangan di Pusat Penjaja East Coast Lagoon

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki sembunyi 9 bulan di Batam, elak diberkas atas serangan di Pusat Penjaja East Coast Lagoon

(Gambar: East Coast Lagoon Food Village/Facebook)

Diterbitkan : 12 Apr 2022 05:15PM Dikemas Kini : 12 Apr 2022 05:39PM

SINGAPURA: Setelah menyerang seorang lelaki dan anak lelakinya di Pusat Penjaja East Coast Lagoon, seorang lelaki membuat keputusan untuk melarikan diri daripada Singapura untuk mengelak diberkas. Dia juga membayar S$500 untuk membuat aturan agar dapat meninggalkan negara secara haram. 

Dari Tuas, lelaki tersebut menaiki bot ke Batam dan menetap di sana selama sembilan bulan sebelum pihak berkuasa Indonesia mengusirnya pada Mac tahun ini. 

Safuan Kamarodin, 39 tahun, mengaku bersalah hari ini (12 Apr) atas empat tuduhan merusuh, meninggalkan Singapura dari tempat pelepasan yang tidak sah dan memandu secara tidak bertanggungjawab. 

Warga Singapura itu akan dikenakan hukuman di mahkamah bulan depan. 

Mahkamah dimaklumkan bahawa Safuan dan lapan kawannya berkelahi dengan seorang lelaki dan anak lelakinya di Pusat Penjaja East Coast Lagoon pada tengah malam 11 April tahun lalu. Kedua-dua pihak tidak mengenali satu sama lain. 

Pergaduhan itu berlaku setelah kawan Safuan, Nur Faisal Shah Hishamuddin Shah, atau dikenali sebagai Bhai, 34 tahun, bertembung dengan lelaki tersebut di pintu masuk tandas lelaki pusat penjaja itu. 

Bhai bersemuka dengan lelaki berusia 51 tahun itu kerana bertembung dengannya dan keadaan itu berubah menjadi pergaduhan, dengan kawan-kawan Bhai menyokongnya. 

Safuan memulakan pergaduhan itu apabila bertumbuk dengan lelaki berkenaan. Apabila mangsa jatuh ke lantai, kumpulan itu menumbuk dan menendangnya kira-kira 20 saat sehingga dia berjaya berdiri dan melarikan diri. 

Kemudian, sedang mangsa, anak lelakinya yang berusia 20 tahun dan anggota keluarganya yang lain menuju keluar pusat penjaja itu, mereka melihat kumpulan tersebut berdiri dekat tempat kejadian. Anak lelaki mangsa pun menyoal kumpulan itu tentang serangan yang terjadi. 

Pertempuran itu menjadi lebih serius sehingga kumpulan itu mula menumbuk dan menendang anak lelaki mangsa. Dia melarikan diri tetapi dikejar melalui pusat penjaja itu dan pada satu masa, melontar kelapa ke arah anak lelaki mangsa. Safuan cuba melempar botol arak ke arah anak lelaki mangsa, namun terlepas. 

Kumpulan itu juga mengejar bapa tersebut melalui pusat penjaja dan Safuan menendangnya sehingga terjatuh ke lantai. 

Mangsa-mangsa tidak cuba membalas dan hanya cuba mempertahankan diri mereka, menurut pihak pendakwa. 

Polis tiba setelah menerima beberapa panggilan daripada orang awam. Mangsa-mangsa itu dibawa ke hospital dan mengalami lebam di beberapa bahagian badan mereka. 

Bhai masih belum ditemui, menurut pihak pendakwa. 

Sekitar dua bulan selepas kejadian itu, Safuan memutuskan untuk melarikan diri daripada Singapura untuk mengelak dikesan dan diberkas. 

Dia diburu untuk membantu siasatan polis dan waran tangkap dikeluarkan terhadapnya pada waktu itu, setelah gagal menghadiri perbicaraan atas kesalahan-kesalahan memandu yang dahulu. 

Dia diusir daripada Batam pada 29 Mac tahun ini. 

Safuan juga mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk dan memandu secara cuai pada tengah malam 30 Oktober 2020. Dia minum beberapa gelas wiski sebelum itu. 

Semasa memandu di simpang Fullerton Road dan Esplanade Drive, Safuan tertidur dan hilang kawalan van sewa yang dipandunya itu. Van itu melanggar susur tangan dan terbalik. 

Pegawai polis di tempat kejadian mengesan bau kuat arak pada Safuan dan lelaki itu juga gagal ujian pernafasan. 

Safuan dan penumpangnya mengalami kecederaan ringan, manakala kerosakan susur tangan itu bernilai S$13,800 dan ditanggung oleh syarikat sewa kenderaan. 

Pihak pendakwa mengusulkan hukuman penjara antara 22 bulan enam minggu dengan 25 bulan 10 minggu serta denda sebanyak S$7,000 dan larangan memandu selama empat tahun. 

Hukuman bagi kesalahan merusuh adalah penjara sehingga tujuh tahun dan dikenakan sebatan rotan. Meninggalkan Singapura secara haram pula boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan, denda sehingga S$2,000 atau kedua-duanya sekali. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan