Skip to main content

Singapura

Lelaki saman TTSH, doktor atas kematian ibu susuli serangan jantung

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Anak lelaki kepada seorang wanita berusia 74 tahun yang meninggal dunia selepas mengalami serangan jantung di Hospital Tan Tock Seng (TTSH), membuat tuntutan S$800,000 terhadap hospital itu dan tiga doktornya.

Perbicaraan di Mahkamah Tinggi yang bermula hari ini (15 Ogos) akan meneliti sama ada kecuaian dari segi perubatan menjadi punca kematian Cik Tan Yaw Lan.

Anaknya, plaintif Chia Soo Kiang, 47 tahun, diwakili Encik Clarence Lun dan Encik Cheston Ow dari syarikat guaman Fervent Chambers.

Menurut kes beliau, kecuaian pihak defendan semasa membuat diagnosis dan memberikan rawatan perubatan menyebabkan Cik Tan mengalami serangan jantung pada 23 April 2018.

Cik Tan rebah selepas dimandikan oleh seorang jururawat latihan amali pada hari itu. Mendiang kemudian koma.

Keadaannya bertambah buruk dan mendiang meninggal dunia akibat penyakit jantung iskemik dan radang paru-paru pada 13 Mei 2018.

Selain TTSH, tuntutan juga dibuat terhadap Dr Dorai Raj D Appadorai - iaitu doktor tunggu sedia ketika Cik Tan dimasukkan ke wad - dan juga Dr Lee Wei Sheng serta Dr Ranjana Acharya - yang memberikan maklum balas tentang keadaan Cik Tan pada pagi selepas mendiang dimasukkan ke wad.

Hospital dan para doktor tersebut diwakili oleh sepasukan peguam dari Dentons Rodyk & Davidson yang dipimpin oleh Cik Mar Seow Hwei. Kes mereka adalah Cik Tan dijaga dan diberikan nasihat yang sewajarnya pada setiap masa.

Encik Chia, seorang pegawai perkhidmatan awam, adalah orang pertama memberi keterangan di mahkamah hari ini. Beliau memberi bukti berhubung keadaan perubatan ibunya sebelum dimasukkan ke wad, apabila ibunya rebah dan meninggal dunia.

PELAN RAWATAN KECUALIKAN UBAT JANTUNG

Keadaan perubatan Cik Tan sebelum ini termasuk kencing manis, tekanan darah tinggi, kegagalan jantung, penyakit jantung iskemik, sakit buah pinggang kronik dan anemia, menurut laporan sejarah perubatan yang diperolehi daripada April 2018.

Mendiang mengalami demam, batuk dan keletihan dan dimasukkan ke TTSH pada 20 April 2018.

Seorang doktor mendiagnosis mendiang dengan sepsis, iaitu keadaan yang diakibatkan oleh adanya bakteria yang memudaratkan, dan bahan beracun yang dihasilkan di dalam darah dan tisu, yang disulitkan oleh masalah jantung dan darah beku, anemia serta penyakit buah pinggang kronik.

Mendiang kemudian diletakkan di bawah pelan perubatan yang mengecualikan ubat-ubat penting penyakit jantung, iaitu aspirin, losartan dan furosemide.

Menerusi tuntutan tersebut Encik Chia mendakwa bahawa Dr Dorai gagal menasihatkan dan mendapatkan keizinan Cik Tan sebelum meluluskan untuk mengecualikan ubat-ubat tersebut, yang kemudian memburukkan serangan jantung yang dialami.

"Paling kurang" yang boleh dilakukan Dr Dorai adalah untuk memaklumkan kepada keluarga Cik Tan tentang pelan rawatan tersebut. Namun itu tidak dilakukan, menurut hujah plaintif.

Plaintif juga menuduh Dr Dorai gagal merawat masalah jantung Cik Tan dengan sewajarnya dengan mengarahkan atau membolehkan aspirin, iaitu sejenis ubat penipis darah, dikecualikan daripada ubat-ubatan yang diberikan.

Menurut pihak defendan, aspirin itu dikecualikan kerana ia boleh meningkatkan risiko pendarahan Cik Tan apabila mendiang mengalami anemia. Manakala losartan dan furosemide dikecualikan kerana ia boleh memburukkan kecederaan pada buah pinggang.

Sebagai sebahagian daripada rawatannya, Cik Tan juga diberikan antibiotik dan sejenis insulin subkutaneus mudah larut yang boleh diberikan sebagai respons kepada paras gula dalam darah, sekali gus menggantikan insulin biasa yang dimakan.

Pada pagi selepas dimasukkan ke hospital, pegawai wad Dr Lee memantau Cik Tan. Cik Tan dilihat awas dan selesa di katilnya, menurut defendan.

Dr Lee kemudian meneruskan pelan rawatan yang mengecualikan ubat-ubatan asas bagi penyakit jantung Cik Tan serta insulin yang dimakan. Dr Ranjana, seorang pakar ubat dalaman yang memeriksa Cik Tan pagi itu juga bersetuju dengan keputusan klinikal tersebut.

Plaintif pula mendakwa Dr Lee gagal memberikan rawatan sewajarnya bagi penyakit kencing manis Cik Tan dengan mengecualikan insulin yang dimakan, sekali gus membuatkan Cik Tan berisiko mengalami komplikasi atau jangkitan.

TIDAK DIRUJUK KEPADA PAKAR KARDIOLOGI

Pada 21 April 2018, Dr Ranjana juga menahan saranan yang dibuat Dr Lee untuk Cik Tan dirujuk ke jabatan kardiologi kerana beliau berasa "ia "tidak dinyatakan seara klinikal", menurut defendan.

Plaintif berhujah bahawa Dr Ranjana melanggar tanggungjawab beliau untuk menjaga Cik Tan dengan gagal merujuk mendiang kepada pakar jantung yang sesuai.

Cik Tan didiagnosis secara salah dan tindakan membatalkan rujukan ke pakar kardiologi menyebabkan Cik Tan tidak dapat diberikan rawatan yang boleh menyelamatkan nyawanya.

Plaintif juga mempersoalkan keputusan pasukan perubatan untuk tidak merujuk Cik Tan ke Unit Jagaan Rapi (ICU).


DIMANDIKAN TANPA KEIZINAN KELUARGA

Cik Tan dirawat di hospital selama dua hari. Pada 23 April 2018, degupan jantung Cik Tan juga stabil dan mendiang ketika itu dalam keadaan "awas, selesa, gembira dan tidak lemah", menurut defendan.

Pada pagi itu, Cik Tan meminta seorang jururawat yang menjalani latihan amali supaya membantu memandikannya. Selepas itu, Cik Tan tidak memberikan sebarang respons dan mula tercungap-cungap di bilik mandi.

Cik Tan kemudian dihantar ke katilnya, di mana bantuan pernafasan (CPR) diberikan pada pukul 9.34 pagi. Cik Tan kemudian koma dan meninggal dunia hampir tiga minggu selepas itu.

Plaintif mendakwa bahawa pihak defendan cuai kerana membenarkan seorang jururawat yang menjalani latihan amali, iaitu seorang yang tidak terlatih dari segi perubatan, untuk mengendalikan Cik Tan dalam keadaan tidak diawasi dan tertutup.

Encik Chia menambah TTSh juga tidak mengendahkan arahan daripada saudara perempuannya yang "jelas memberitahu" para jururawat agar ibunya tidak dimandikan kerana ibunya cenderung pengsan.

Perbicaraan itu diteruskan di hadapan Hakim Choo Han Teck esok (16 Ogos).
Sumber : CNA/NK/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita