Lelaki S'pura didenda S$11 juta, penjara 50 bulan kerana rokok tidak dibayar cukai
Seorang lelaki Singapura berusia 58 tahun dihukum penjara 50 bulan dan didenda S$11 juta kerana terbabit dalam urus niaga rokok yang tidak dibayar cukai.

Tong Chye Heng, seorang pesalah berulang mengaku bersalah terhadap lima tuduhan menyimpan, memiliki dan berurus niaga dalam rokok yang tidak dibayar cukai antara 2 Jun hingga 7 Disember 2017. (Gambar: Kastam Singapura)
SINGAPURA: Seorang lelaki Singapura berusia 58 tahun dihukum penjara 50 bulan dan didenda S$11 juta kerana terbabit dalam urus niaga rokok yang tidak dibayar cukai.
Demikian menurut Kastam Singapura dalam satu kenyataan media hari ini (27 Feb).
Tong Chye Heng, seorang pesalah berulang mengaku bersalah terhadap lima tuduhan menyimpan, memiliki dan berurus niaga dalam rokok yang tidak dibayar cukai antara 2 Jun hingga 7 Disember 2017. Lima tuduhan lain diambil kira semasa hukuman dijatuhkan.
Memandangkan Tong tidak membayar denda yang dikenakan mahkamah, tempoh hukuman penjaranya dinaikkan lagi 31 bulan, 81 bulan keseluruhannya.
Sebagai seorang pesalah berulang, Tong juga boleh dikenakan hukuman tambahan di bawah Akta Kastam, termasuk hukuman penjara sehingga enam tahun, selain denda lebih berat yang tidak kurang dari 30 kali ganda cukai kastam atau Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dielak.
Tong pernah disabit kesalahan sebanyak empat kali sejak 1998 atas kesalahan-kesalahan kastam.
Pada 15 Mac 2006, Tong didenda S$110,000 kerana menyeludup 41 karton rokok yang tidak dibayar cukai. Dia menjalani hukuman penjara selama 28 bulan kerana tidak membayar denda tersebut.
Tong ditangkap sekali lagi pada 2 Jun 2017 kerana menyimpan 2,926 karton, 370 paket dan 43 batang rokok yang tidak dibayar cukai di sebuah kebun di Jalan Sungei Tengah dan di sebuah bangunan komersil di Jalan Soon Lee. Dia didakwa di mahkamah pada 3 Jun tahun lalu.
Namun, ketika bebas dengan ikat jamin, Tong ditangkap di sebuah tempat meletak kereta di Jurong West Street 41 dalam sebuah operasi yang dijalankan Kastam Singapura pada 5 Disember 2017. Para pegawai menahan Tong ketika dia memindahkan kotak yang mengandungi rokok-rokok yang tidak dibayar cukai dari vannya ke sebuah kereta. Sejumlah 731 karton dan 190 paket dirampas dari van milik Tong.
Para pegawai Kastam Singapura melakukan satu lagi serbuan pada 7 Disember 2017 di sebuah bangunan perindustrian di Eunos Avenue 3. 624 karton serta 469 paket rokok-rokok yang tidak dibayar cukai ditemui di sebuah unit yang disewa Tong. Cukai kastam dan GST yang tidak dibayar bagi rokok-rokok yang dirampas pada 2 Jun 2017 serta 5 dan 7 Disember 2017 masing-masing berjumlah sekitar $377,150 dan $27,330.
Menurut kenyataan dari Kastam Singapura, membeli, menjual, menyampaikan, menghantar, menyimpan, memiliki atau mengurus barangan yang tidak dibayar cukai adalah kesalahan besar di bawah Akta Kastam dan Akta GST. Mereka yang bersalah boleh dikenakan denda sebanyak 40 kali ganda jumlah cukai dan GST yang dielak dan/atau dipenjara sehingga enam tahun.
Pesalah berulang yang ditangkap dengan barangan tembakau yang melebihi dua kilogram akan dikenakan hukuman penjara mandatori. Kenderaan yang digunakan dalam kesalahan sedemikian boleh dirampas.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.