Skip to main content

Singapura

Lelaki S'pura buruan FBI mengaku bersalah; palsukan invois urus niaga dengan 2 syarikat Korea Utara

Seorang lelaki rakyat Singapura dalam senarai buruan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat kerana mengubah wang haram mengaku bersalah memalsukan invois-invois yang dikaitkan dengan syarikat-syarikat perniagaan di Korea Utara.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki S'pura buruan FBI mengaku bersalah; palsukan invois urus niaga dengan 2 syarikat Korea Utara

Tan Wee Beng. (Gambar: FBI)

Diterbitkan : 11 Oct 2021 04:54PM Dikemas Kini : 11 Oct 2021 04:56PM

SINGAPURA: Seorang lelaki rakyat Singapura dalam senarai buruan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat kerana mengubah wang haram mengaku bersalah memalsukan invois-invois yang dikaitkan dengan syarikat-syarikat perniagaan di Korea Utara.

Tan Wee Beng, 44 tahun, mengaku bersalah atas tujuh tuduhan memalsukan invois-invois dua syarikat dengan lagi 13 tuduhan turut diambil kira semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Tan adalah pengarah urusan dan pemegang saham Wee Tiong, sebuah syarikat yang berurus niaga dalam perdagangan komoditi. Dia juga adalah pengarah anak syarikat Wee Tiong, Morgan Marcos. Kesemua pemegang saham bagi kedua-dua syarikat tersebut adalah anggota keluarga Tan.

Tan mula berurus niaga dengan Ri Nam Sok dari Korea Utara pada 2007 atau 2008 dan seorang lagi warga Korea Utara, Jon Chol Ho pada 2010.

Dia menjual gula kepada syarikat-syarikat mereka dan menerima bayaran menerusi akaun-akaun Wee Tiong dan Morgan Marcos.

Tan kemudian memutuskan untuk merahsiakan maklumat tersebut daripada pengetahuan UOB dan OCBC tentang urus niaganya bersama individu-individu yang dikaitkan dengan Korea Utara. Tan juga menyiapkan invois-invois palsu dengan bantuan seorang pengarah perkapalan Wee Tiong, Bong Hui Ping yang turut bersubahat.

Bong menukar nama pembeli atau destinasi pelabuhan di invois-invois tersebut untuk memadamkan sebarang rujukan kepada syarikat atau pelabuhan di Korea Utara dan Tang pula mengeluarkan invois-invois itu sebelum menjawab pertanyaan bank-bank tersebut dengan menyerahkan invois-invois palsu.

Bagi setiap tuduhan memalsukan invois dengan niat untuk menipu, Tan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.

Dia akan kembali ke mahkamah untuk mengemukakan rayuan dan dijatuhkan hukuman pada minggu depan.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita