Skip to main content

Singapura

Lelaki S'pura berbohong tentang perjalanan ke Indonesia supaya dapat jalani SHN di rumah

Seorang lelaki berusia 58 tahun didakwa pada Jumaat (19 Mac) kerana berbohong kepada pihak berkuasa mengenai sejarah perjalanannya supaya dia tidak perlu menjalani tempoh Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) di sebuah kemudahan khusus.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 19 Mar 2021 01:44PM Dikemas Kini : 20 Mar 2021 01:09AM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 58 tahun didakwa pada Jumaat (19 Mac) kerana berbohong kepada pihak berkuasa mengenai sejarah perjalanannya supaya dia tidak perlu menjalani tempoh Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) di sebuah kemudahan khusus.

Matlamat SHN adalah untuk membendung penularan COVID-19 dari para pelawat asing yang memasuki negara ini.

Vijeyakumar Z Joseph, seorang rakyat Singapura, berdepan dengan satu tuduhan di bawah Akta Penyakit Berjangkit.

Dia pulang dari Jakarta, Indonesia melalui Lapangan Terbang Changi pada 22 November tahun lalu.

Bagaimanapun, Vijeyakumar dipercayai memberitahu Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dalam borang perisytiharan bahawa dia tidak melakukan perjalanan ke mana-mana negara atau wilayah selain daripada yang disenaraikan dalam borang tersebut dalam tempoh 14 hari sebelum dia pulang ke Singapura.

Jakarta tidak disertakan dalam senarai itu, yang merangkumi Finland, Sri Lanka, Thailand, Korea Selatan, Turki dan Fiji.

Bermula 2 Nov tahun lalu, para pelawat yang berkunjung ke negara-negara dalam senarai itu boleh memilih untuk tidak menjalani tempoh pengasingan di kemudahan khusus jika mereka memenuhi kriteria berikut:

- Tidak ke mana-mana sepanjang dua minggu sebelum pulang ke Singapura

- Tinggal di kediaman di Singapura seorang diri, atau hanya bersama penghuni lain yang turut menjalani SHN dengan sejarah perjalanan dan tempoh pengasingan yang sama

Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa Vijeyakumar menetap di sebuah flat di Ang Mo Kio bersama abang dan bapanya, yang tidak melakukan perjalanan bersamanya ke Jakarta.

Dia dikenakan tempoh SHN dari 22 Nov hingga 6 Dis tahun lalu.

Para pegawai penguat kuasa melakukan pemeriksaan di rumahnya pada 25 Nov dan mendapati bahawa dia tinggal bersama abang dan bapanya, menurut ICA dalam kenyataannya pada Jumaat.

"Pihak berkuasa imengingatkan orang ramai supaya memberikan maklumat dengan tepat dan telus bagi kesemua perisytiharan berkaitan kesihatan, perjalanan dan Notis Jangan Keluar Rumah.

"Tindakan penguatkuasaan yang tegas akan diambil terhadap sesiapa saja yang didapati membuat perisytiharan palsu," menurut ICA.

Mereka yang memilih untuk menjalani tempoh pengasingan di rumah perlu berada di rumah setiap masa. Setiap langkah mereka dipantau secara elektronik dan menerusi pemeriksaan rambang.

Vijeyakumar dibebaskan dengan ikat jamin S$5,000 dan akan dihadapkan semula ke mahkamah pada 9 April.

Jika didapati bersalah, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau didenda sehingga S$10,000 atau dikenakan kedua-dua hukuman itu.

Mereka yang melakukan kesalahan buat kali kedua atau berulang kali boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau didenda sehingga S$20,000, atau dikenakan kedua-dua hukuman tersebut.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita