Skip to main content

Singapura

Lelaki, remaja 16 tahun didakwa bersubahat rompak S$81,000 selepas mangsa cuba beli mata wang kripto

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki, remaja 16 tahun didakwa bersubahat rompak S$81,000 selepas mangsa cuba beli mata wang kripto

Gambar: Pasukan Polis Singapura

SINGAPURA: Seorang lelaki dan seorang remaja didakwa di mahkamah pada Isnin (20 Nov) kerana bersubahat untuk merompak seorang lelaki yang cuba menggunakan wang tunai S$81,060 untuk berdagang token mata wang kripto.

Firdaus Muhammad Abdul Aziz, warga Singapura berusia 33 tahun, didakwa bersubahat dengan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun supaya remaja itu merompak wang mangsa.

Remaja lelaki lelaki itu dikenakan tuduhan yang sama atas dakwaan merompak yang dilakukan antara 11.00 pagi dan 2.00 petang pada 19 Nov, di Blok 199A, Punggol Field. Dia tidak boleh dinamakan di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda kerana dia masih bawah umur.

Menurut kenyataan media polis, mangsa berusia 33 tahun menerima tawaran daripada orang yang tidak dikenali di Telegram untuk berdagang token mata wang kripto dengan wang tunai.

Atas arahan orang yang tidak dikenali itu, mangsa berjumpa dengan remaja berusia 16 tahun itu untuk menyerahkan wang tunai berjumlah S$81,060. Remaja itu didakwa melarikan wang tunai tersebut ketika mengiranya.

Mangsa mengejar dan menahan remaja itu. Remaja itu bagaimanapun mengeluarkan pisau dapur, tetapi terjatuh, kata polis.

Dia ditahan dengan bantuan dua lelaki dan seorang wanita, dan telah diberkas oleh polis. Wang tunai telah diperolehi sepenuhnya.

Polis kemudian mengenal pasti dan menahan dua lelaki yang dipercayai ada kaitan dengan kes itu – Firdaus dan seorang lelaki berusia 27 tahun.

Siasatan polis terhadap lelaki berusia 27 tahun itu masih dijalankan.

Firdaus dan remaja itu ditahan reman sedang siasatan masih dijalankan, dengan kebenaran untuk dibawa ke tempat kejadian. Mereka akan dihadapkan semula ke mahkamah pada 27 Nov.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara antara dua hingga 10 tahun dan disebat sekurang-kurangnya enam kali.

Polis menasihatkan orang ramai supaya jangan membawa wang tunai dalam jumlah yang besar di khalayak ramai.
 
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita