Lelaki rebah di Orchard Towers, 8 diberkas berkaitan kes pembunuhan
Enam lelaki dan dua wanita ditangkap berkaitan dengan kes pembunuhan di Orchard Tower setelah seorang lelaki rebah di bangunan itu pada Selasa pagi (2 Jul).
(Gambar: 8world News/Cai Youxia)
SINGAPURA: Enam lelaki dan dua wanita ditangkap berkaitan dengan kes pembunuhan di Orchard Tower setelah seorang lelaki rebah di bangunan itu pada Selasa pagi (2 Jul).
Menurut polis, pihaknya menerima panggilan meminta bantuan pada jam 6.25 pagi, sambil menambah bahawa lelaki berusia 31 tahun dijumpai dalam keadaan tidak sedar di tempat kejadian.
Beliau dibawa dalam keadaan tidak sedar ke Hospital Tan Tock Seng di mana beliau disahkan sudah meninggal dunia.
Para suspek berusia antara 22 hingga 27 tahun, menurut polis.
Lima suspek itu akan didakwa di mahkamah pada Khamis atas niat membunuh, yang membawa hukuman mati.
"SCDF memberi respons kepada satu panggilan meminta bantuan perubatan di 400 Orchard Road pada sekitar jam 6.30 pagi," jawab pihak SCDF kepada pertanyaan Mediacorp.
Rakaman CCTV yang diperolehi 8world News menunjukkan seorang lelaki berjalan perlahan di hadapan tangga bergerak, sebelum rebah, menyebabkan orang ramai bergegas ke arahnya untuk memeriksa keadaan beliau.
Gambar yang diambil wartawan berita berbahasa Mandarin Mediacorp itu juga menunjukkan lantai berlumuran darah dekat pintu masuk bangunan itu.
Polis dilihat mengepung sebuah kawasan di luar bangunan Orchard Towers.
Menurut polis, siasatan terhadap tiga daripada lapan suspek itu masih lagi dijalankan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.