Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki rakyat SG disyaki bunuh wanita di Sepanyol dihadapkan ke mahkamah

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki rakyat SG disyaki bunuh wanita di Sepanyol dihadapkan ke mahkamah

Anggota pengawal awam mengiringi suspek kes pembunuhan Cik Audrey Fang ke sebuah mahkamah Sepanyol pada 19 Apr 2024. (Gambar: EPA, Facebook/Fang Dirou)

Diterbitkan : 19 Apr 2024 09:40PM Dikemas Kini : 19 Apr 2024 09:42PM
SINGAPURA: Seorang lelaki rakyat Singapura dihadapkan ke sebuah mahkamah di Sepanyol pada Jumaat (19 Apr), selang tiga hari selepas dia diberkas berhubung kematian seorang wanita warga Singapura.

Cik Audrey Fang, 39 tahun, ditemui mati dengan 30 kesan tikaman berdekatan sebuah kawasan tempat letak kenderaan bagi lori di bandar Abanilla pada 10 Apr, menurut laporan media Sepanyol.
Suspek berusia 43 tahun, yang tidak dinamakan, tiba di mahkamah di bandar tenggara Cieza pada pukul 9.20 pagi waktu tempatan, menurut agensi berita Sepanyol La Verdad de Murcia.

Keluarga Cik Fang serta peguamnya juga dilaporkan berada di Cieza dan sudahpun mengenal pasti mayatnya. Peguam mereka telahpun meminta tertuduh direman.

Cik Fang tiba di Sepanyol pada 4 Apr untuk bercuti sendirian dan dijangka pulang ke tanah air pada 12 Apr.

Mendiang dilaporkan hilang selepas meninggalkan bilik hotel pada pukul 8.45 malam. Barangan peribadinya ditinggalkan di hotel mewah di Javea, sebuah bandar di pantai timur Sepanyol.

Mayatnya ditemui sekitar 150 kilometer dari Xabia, sebuah kawasan kejiranan pada keesokan harinya, tetapi hanya dikenal pasti pada 17 Apr.

Menurut agensi berita El Espanol, mayatnya ditemui oleh ketua inspektor divisyen polis tempatan ketika beliau dalam perjalanan untuk bersarapan.

Sementara itu, rakaman kamera menunjukkan Cik Fang dijemput dari hotelnya menaiki sebuah kereta yang dipandu oleh tertuduh, lapor La Opinion de Murcia pada Jumaat.

Pengawal Awam, pasukan polis di Sepanyol, berjaya mengenal pasti model kenderaan itu dan siasatan menunjukkan bahawa kenderaan berkenaan telah dilihat di Alicante, Javea dan Abanilla.

Suspek diberkas di Alicante. Hotel Cik Fang terletak di Javea dan mayatnya ditemui di Salado Alto, berhampiran Abanilla.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan