Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki PR dijel 1 tahun dera amah guna sudip panas ketika mabuk

Seorang lelaki berusia 35 tahun dihukum penjara satu tahun pada Selasa (17 Ogos) atas kesalahan mendera pembantu rumahnya sebanyak dua kali pada 2018 selepas pulang ke rumah dalam keadaan mabuk. 

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki PR dijel 1 tahun dera amah guna sudip panas ketika mabuk

Rajamanickam Suresh Kumar tiba di Mahkamah Negara pada 19 Mei 2021. (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)

Diterbitkan : 17 Aug 2021 07:30PM Dikemas Kini : 17 Aug 2021 07:31PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 35 tahun dihukum penjara satu tahun pada Selasa (17 Ogos) atas kesalahan mendera pembantu rumahnya sebanyak dua kali pada 2018 selepas pulang ke rumah dalam keadaan mabuk.

Rajamanickam Suresh Kumar, seorang penduduk tetap Singapura dari India, didapati bersalah menyebabkan kecederaan secara sengaja kepada Cik Vadivel Gowthami menggunakan bahan yang dipanaskan dengan membakar lengan mangsa menggunakan sudip.

Dia juga didapati bersalah menggunakan kekerasan jenayah ke atas mangsa warga India itu dengan menarik pergelangan tangan wanita tersebut dan menolaknya ke dalam bilik.

Lelaki itu menafikan dia melakukan kesalahan-kesalahan itu semasa perbicaraan kesnya tetapi Hakim Daerah Ronald Gwee mendapati pihak pendakwaan membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah.

Pada hari kedua perbicaraannya pada 20 Oktober 2020, Rajamanickam juga gagal menghadirkan diri ke mahkamah dengan mengatakan dia tidak sihat.

Dia heret kembali ke mahkamah dan didakwa pada hari berikutnya dengan tuduhan melarikan diri ketika diikat jamin. Timbalan Pendakwa Raya Thiagesh Sukumaran meminta persidangan sebelum perbicaraan diadakan untuk menangani tuduhan ini.

Rajamanickam direman sehingga Disember 2020, selepas didakwa gagal menghadiri perbicaraan semasa diikat jamin. Tempoh tersebut akan diambil kira dalam hukuman penjaranya.

Rajamanickam tidak diwakili peguam kerana kedua-dua peguam yang sebelum ini membelanya telahpun menarik diri.

APA YANG BERLAKU

Semasa perbicaraan, mahkamah diberitahu Cik Vadivel baru pertama kali bekerja di Singapura.

Tugasnya mengemas, memasak dan menjaga anak-anak Rajamanickam. Beliau menerima gaji S$400 sebulan dan diberitahu perlu bekerja dari jam 5.30 pagi hingga 11.30 malam setiap hari.

Wanita itu memberi keterangan beliau memberitahu ejennya pada Julai 2018 keinginannya untuk pulang ke India kerana berasa penat setiap hari.

Ejennya berkata beliau tidak dapat membantunya tetapi kemudian memberitahu isteri Rajamanickam tentang aduan Cik Vadivel itu.

Pada 18 Oktober 2018, Rajamanickam pulang ke rumah pada sekitar 7.30 malam dalam keadaan mabuk.

Cik Vadivel sedang membuat thosai pada ketika itu dan telah pergi ke ruang tamu buat seketika. Apabila beliau kembali ke dapur, Rajamanickam sedang memegang sudip yang kemudian digunakannya untuk membakar lengan wanita itu.

Rajamanickam meninggalkan dapur dan Cik Vadivel kemudian masuk tidur ke dalam biliknya.

Selepas melaporkan kes itu kepada polis, Cik Vadivel memberitahu kakitangan di Hospital Ng Teng Fong bahawa Rajamanickam marah kerana beliau lambat siapkan makan malam.

Pada keesokan hari, Cik Vadivel memberitahu isteri Rajamanickam, Cik Pandiselve Pandian, bahawa beliau tidak sengaja mencederakan dirinya sendiri. Beliau berbohong kerana sedang menghadapi masalah kewangan dan tidak lagi berhasrat untuk pulang ke India.

Pada malam itu, Rajamanickam pulang ke rumah sekali lagi dalam keadaan mabuk. Dia memberitahu Cik Vadivel untuk pergi ke rumah ibu mertuanya dan membawa pulang anak perempuannya.

Cik Vadivel enggan mengikut arahannya kerana hari sudah lewat melebihi waktu kerjanya.

Lelaki itu kemudian memberitahu Cik Vadivel: "Memandangkan MOM (Kementerian Tenaga Manusia) suruh kau tidur pukul 10.00 malam, kenapa kau masih berjaga?". Dia kemudian menarik pergelangan tangan wanita itu dan menolaknya masuk ke biliknya.

Pada hari berikutnya, Cik Vadivel meminta Cik Pandiselve menghantarnya balik ke India namun majikannya memberitahunya untuk terus bekerja.

Cik Vadivel kemudian pergi ke rumah ibu Cik Pandiselve dan pulang ke rumah majikannya untuk mengambil beberapa barang sebelum menghubungi polis.

Hukuman maksimum bagi kesalahan mencederakan dengan menggunakan bahan yang dipanaskan adalah penjara sehingga tujuh tahun, denda dan sebatan rotan.

Majikan yang menyebabkan kecederaan ke atas pembantu rumah di rumah mereka boleh dikenakan satu setengah kali ganda hukuman itu, membawa kepada tempoh penjara sehingga 10.5 tahun.

Bagi menggunakan kekerasan jenayah, Rajamanickam boleh dipenjara sehingga tiga bulan atau didenda sehingga S$1,500 atau kedua-duanya sekali.

Jika didapati bersalah melarikan diri sewaktu diikat jamin, dia boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali.  

Sumber : Today/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan