Lelaki positif HIV rahsiakan keadaannya; dituduh berhubungan seks 17 kali dengan budak bawah umur
Seorang lelaki rakyat Singapura berumur 40 tahun kembali ke mahkamah pada Isnin (31 Ogos) berhubung dakwaan dia mengadakan hubungan seks berulang kali dengan seorang budak perempuan berusia 14 tahun walaupun mengetahui dia menghidap HIV.
(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Seorang lelaki rakyat Singapura berumur 40 tahun kembali ke mahkamah pada Isnin (31 Ogos) berhubung dakwaan dia mengadakan hubungan seks berulang kali dengan seorang budak perempuan berusia 14 tahun walaupun mengetahui dia menghidap HIV.
Lelaki itu, yang pertama kali didakwa pada Disember lalu, menghadapi 34 tuduhan kesemuanya - 17 tuduhan setiap satu kerana mengadakan hubungan seks dengan budak bawah umur 16 tahun dan melakukan aktiviti seksual tanpa memaklumkan pasangannya akan risiko dijangkiti HIV.
Di bawah Akta Penyakit Berjangkit, individu yang tahu mereka menghidap HIV atau AIDS perlu memberitahu pasangan seksual mereka akan risikonya.
Pasangan mereka juga perlu bersetuju dengan rela untuk menerima risiko tersebut.
Tiada penawar bagi HIV dan tanpa rawatan, individu boleh menghidap AIDS yang boleh membawa maut.
Seseorang individu boleh menjangkiti HIV menerusi seks tanpa perlindungan, berkongsi peralatan suntikan, pemindahan darah yang tercemar dan pemindahan organ atau tisu mahupun dijangkiti dari seorang ibu kepada anaknya yang belum lahir.
Lelaki berkenaan tidak boleh dinamakan atas perintah mahkamah.
Pendakwa Kementerian Kesihatan (MOH) Jason Lee memohon bagi perintah itu kerana ia melibatkan maklumat kesihatan yang sensitif.
Budak perempuan bawah umur itu, yang berusia 15 tahun pada Januari lalu, juga tidak boleh dinamakan bagi melindungi identitinya.
Dokumen mahkamah menyatakan lelaki itu didakwa mengadakan hubungan seks dengan mangsa sebanyak 13 kali dari 22 September hingga 3 Disember tahun lalu.
Dia juga dituduh cuba melakukan hubungan seks dengan budak perempuan itu sebanyak empat kali secara berasingan pada September.
Kesemua insiden itu didakwa berlaku sekitar 8.30 pagi di flat HDB di bahagian utara Singapura.
Tertuduh didakwa dua hari selepas insiden terakhir berlaku.
Dokumen mahkamah tidak menyatakan bagaimana kesalahan lelaki itu diketahui.
Pada Isnin, apabila ditanya oleh Hakim Daerah Terence Tay tentang bagaimana lelaki dan budak perempuan itu saling mengenali antra satu sama lain, Encik Lee berkata mereka berkenalan semasa melakukan kerja sukarela di sebuah tempat perlindungan haiwan dan tinggal berdekatan antara satu sama lain.
Tertuduh berkata dia merancang untuk mengaku bersalah tetapi memerlukan dokumen tertentu daripada MOH dan Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID), di mana dia menjalani rawatan, sebelum berbuat demikian.
Dia juga berhasrat mendapatkan bantuan guaman daripada Skim Bantuan Guaman Jenayah.
Jika sabit kesalahan mengadakan hubungan seks dengan budak bawah umur, di boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda atau kedua-duanya sekali bagi setiap tuduhan.
Jika sabit kesalahan di bawah Akta Penyakit Berjangkit, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda tidak melebihi S$50,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.