Lelaki positif HIV dijel lebih 13 tahun; perdaya remaja 14 tahun jalin hubungan seks
Meskipun pernah dihukum penjara atas kesalahan serupa, seorang lelaki yang positif HIV mengadakan hubungan seks dengan remaja perempuan berusia 14 tahun tanpa memaklumkan remaja tersebut tentang keadaan kesihatannya.
(Gambar: Mediacorp)
SINGAPURA: Meskipun pernah dihukum penjara atas kesalahan serupa, seorang lelaki yang positif HIV mengadakan hubungan seks dengan remaja perempuan berusia 14 tahun tanpa memaklumkan remaja tersebut tentang keadaan kesihatannya.
Tertuduh malah tergamak memperdayakan mangsa untuk bekerja secara sukarela di sebuah pusat perlindungan haiwan di tempat dia bekerja semata-mata untuk mendampingi remaja tersebut dengan lebih dekat.
Lelaki berusia 41 tahun itu dijatuhi hukuman penjara selama 13 tahun dan dua bulan hari ini (13 Dis). Identiti tertuduh juga tidak boleh didedahkan atas arahan mahkamah.
Dia mengaku bersalah atas 11 pertuduhan, dengan sebahagian besar daripada tuduhan-tuduhan itu melibatkan persetubuhan dengan budak bawah umur dan atas kegagalannya untuk memberitahu mangsa tentang risiko terjangkit HIV sebelum mengadakan hubungan seks dengannya.
Lagi 25 tuduhan turut diambil kira ketika menjatuhkan hukuman.
Mahkamah diberitahu bahawa lelaki itu dibebaskan dari penjara pada Januari 2019 dengan syarat dia tidak lagi melakukan jenayah setelah disabit kesalahan mencuri di sebuah kedai sebelum itu.
Dia mula menjadi sukarelawan di sebuah pusat perlindungan haiwan yang kemudian menggajikannya sebagai seorang pekerja di kemudahan tersebut.
Tertuduh dinaikkan pangkat ke jawatan ketua jurulatih yang bertanggungjawab menyelia para pekerja pembersihan dan melatih para sukarelawan tentang cara-cara menjaga anjing, selain tugasan-tugasan lain.
Pada Julai 2019, mangsa yang berusia 14 tahun mengunjungi pusat perlindungan haiwan itu bersama dengan ibu saudaranya. Tertuduh mengecam remaja berkenaan pada lawatan seterusnya dan bertanya mangsa jika dia berminat menjadi relawan di pusat perlindungan itu dan menyertai sebuah kumpulan sembang.
PUJUK PEMILIK BERSAMA PUSAT PERLINDUNGAN UNTUK TERIMA MANGSA SEBAGAI RELAWAN
Pada awalnya, pemilik bersama pusat perlindungan haiwan berkenaan berkata para sukarelawan seharusnya berusia 16 tahun ke atas, namun tertuduh berjaya memujuknya.
Dia berkata mangsa sangat berminat untuk menjadi relawan dan datang dari keluarga pincang. Merugikan seandainya remaja perempuan itu tidak dibenarkan untuk belajar di pusat perlindungan berkenaan yang boleh menyebabkan remaja tersebut terus hanyut, dakwa tertuduh.
Pemilik bersama itu mengalah dengan desakan tersebut. Antara Julai hingga Disember 2019, mangsa melakukan kerja-kerja sukarela di pusat perlindungan tersebut pada setiap Sabtu dan menjadi penolong tertuduh.
Pada Ogos 2019, lelaki itu mula berhubungan dengan mangsa secara privet menerusi WhatsApp dan Instagram. Dia juga mencium bibir mangsa di pusat perlindungan itu.
Remaja itu bersetuju untuk menjadi teman wanita tertuduh. Lelaki itu berbohong bahawa dia masih bujang dan tinggal bersama ibunya, sedangkan dia sudah mempunyai teman wanita selama empat tahun dan menyewa sebuah kediaman.
Dia mengundang mangsa ke rumahnya pada awal September 2019 di mana mereka berpelukan dan bercium. Tertuduh kemudian cuba mengadakan hubungan seks tetapi berhenti berbuat demikian apabila mangsa berkata dia berasa sakit.
Bagaimanapun, pada kesempatan seterusnya, dia mengadakan persetubuhan dengan mangsa, menurut pihak pendakwa.
Lelaki itu terus mengajak mangsa ke rumahnya untuk mengadakan hubungan seks sepanjang tempoh selama beberapa bulan. Dia tahu bahawa dia telah dijangkiti HIV pada Julai 2011 tetapi tidak memberitahu mangsa mengenainya.
Dia menerima rawatan HIV dan bilangan virus tidak dapat dikesan sewaktu penilaian terakhirnya pada Julai 2019.
Lelaki itu tidak memberitahu mangsa bahawa dia positif HIV kerana dia "takut akan kehilangannya" dan bagaimana dia akan bertindak balas, tambah pihak pendakwa.
Tertuduh memberitahu mangsa bahawa usia tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada cinta mereka berdua dan dia juga memperdayakan mangsa dengan mengatakan lelaki yang hanya mengadakan hubungan seks dengan mangsa sekali saja dan kemudian tidak lagi mahu melakukannya sekali lagi adalah seorang "lelaki yang tidak boleh dipercayai". Sebaliknya, lelaki yang mahu berkali-kali mengadakan hubungan seks dengannya adalah seseorang yang "sangat mencintainya".
Pada November 2019, saudara lelaki mangsa yang menggunakan telefon bimbitnya ternampak perbualan mangsa dengan tertuduh di Instagram. Saudara lelaki mangsa memberitahu bapa mereka, yang kemudian membuat aduan polis. Mangsa diuji negatif HIV.
Kes tersebut dikendalikan oleh seorang pendakwa raya masing-masing dari Pejabat Peguam Negara (AGC) dan Kementerian Kesihatan (MOH). Timbalan Pendakwa Raya Andre Ong dan pendakwa MOH, Jason Lee, mengusulkan hukuman penjara selama 13 tahun dan dua hingga tiga bulan.
PENDAKWA: TERTUDUH MEMENTINGKAN DIRI SENDIRI, MEMPERDAYA MANGSA
Menurut Encik Lee, tertuduh pernah dihukum penjara selama 18 bulan atas kesalahan serupa di bawah Akta Penyakit Berjangkit, tetapi masih tidak menyedari bagaimana perbuatannya itu menimbulkan risiko "yang boleh merubah kehidupan" mangsa.
Sekalipun lelaki itu menyedari bahawa dia harus memberitahu pasangan seks tentang keadaan HIVnya, dia mahu mangsa terus mengadakan hubungan seks dengannya dan tidak mendedahkan maklumat tersebut kepadanya.
Ia juga bukan kesalahan cuma sekali saja tetapi kesalahan berulang yang dilakukan sepanjang tempoh empat bulan, tegas Encik Lee, sambil menarik perhatian bahawa tertuduh tidak mengambil sebarang langkah untuk mengurangkan jangkitan HIV.
Dia juga mengambil kesempatan daripada kepercayaan mangsa terhadapnya untuk mendampingi mangsa setelah memastikan remaja itu akan terus melakukan kerja sukarela di pusat perlindungan itu, kata Encik Lee.
Encik Lee bagaimanapun akur bahawa risiko berlaku jangkitan HIV adalah rendah memandangkan bilangan virus dalam darah tidak dikesan pada penilaiannya yang terakhir pada Julai 2019.
Menurut Timbalan Pendakwa Raya Andre Ong, lelaki itu menunjukkan bahawa dia telah merancang terlebih dahulu, dengan mengajak mangsa ke rumahnya sebanyak 17 kali sepanjang tempoh tiga bulan dan mengambil langkah-langkah untuk mengelak tuan rumahnya.
Tertuduh juga kembali melakukan kesalahan selang empat bulan selepas tarikh luput perintah bersyarat tersebut.
Bagi setiap tuduhan mengadakan hubungan seks dengan budak bawah umur, lelaki itu boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, didenda atau kedua-duanya sekali.
Atas kegagalannya untuk memberitahu bakal pasangan seks mengenai status HIVnya, dia boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga S$50,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.