Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki positif COVID-19 dijel, mengaku bohong kepada pegawai pengesan kontak dalam surat kepada menteri kesihatan

Setelah diuji positif COVID-19, seorang mahasiswa menjadi bimbang perjumpaannya bersama rakan-rakan yang tidak dibenarkan sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan akan terbongkar melalui usaha pengesanan kontak.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki positif COVID-19 dijel, mengaku bohong kepada pegawai pengesan kontak dalam surat kepada menteri kesihatan

Mahkamah Negara di Singapura. (Gambar fail: Jeremy Long)

Diterbitkan : 26 Jul 2021 10:49PM Dikemas Kini : 26 Jul 2021 10:59PM

SINGAPURA: Setelah diuji positif COVID-19, seorang mahasiswa menjadi bimbang perjumpaannya bersama rakan-rakan yang tidak dibenarkan sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan akan terbongkar melalui usaha pengesanan kontak.

Dia kemudian memberitahu rakan-rakannya supaya berbohong, mereka cerita palsu bahawa terjumpa secara kebetulan dan meminta mereka memadamkan kiriman WhatsApp.

Meskipun demikian, lelaki itu kemudian dengan sendirinya membuat pengakuan melalui sepucuk surat kepada menteri kesihatan.

Leon Chua Yi Yan, 27 tahun, dihukum penjara enam minggu dan didenda S$15,000 pada Isnin (26 Jul).

Dia mengaku bersalah atas empat tuduhan melanggar peraturan COVID-19, dengan dua lagi tuduhan diambil kira sewaktu menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Chua merupakan seorang mahasiswa ketika melakukan kesalahan-kesalahan tersebut pada bulan Mei dan Jun tahun lepas. Dia menamatkan pengajian pada Jun tahun ini.

Chua melanggar peraturan COVID-19 dengan berjumpa tiga rakannya semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan (circuit breaker) di mana sebarang perhimpunan sosial dilarang. Tiga tertuduh tersebut adalah - Shu Shao Qiang, 26 tahun, Jarren Ng Yong Jie, 26 tahun dan Phan Chang Rong, 27 tahun.

Pada 14 Mei 2020, Chua telah ke sebuah cawangan Koufu di Woodlands Mart bersama Ng untuk membeli minuman. Ng kemudian membuat janji untuk berjumpa Phan di tangga untuk merokok. Catatan perbualan mereka menunjukkan pasangan itu bercadang untuk berjumpa, dengan Phan meminta Ng untuk membelikannya minuman.

Pada sekitar 9.40 malam itu, Chua, Ng dan Phan berjumpa di kaki tangga di mana mereka menghisap rokok dan bersembang selama sekitar 30 minit tanpa memakai pelitup.

Tiga rakan itu bertemu lagi tiga hari kemudian di kawasan tangga untuk melakukan kegiatan yang sama.

Dalam satu peristiwa berasingan pada 27 Mei tahun lalu, Chua menghantar kiriman teks kepada Phan mengajaknya untuk merokok bersama. Dalam mesejnya itu, Chua turut mengajak Phan untuk keluar bersenam, sambil berkata dia akan menunggang basikal untuk menemuinya.

Pada masa itu, bersenam adalah antara kegiatan yang dianggap "penting" dan penduduk dibenarkan keluar rumah untuk melakukannya. Phan bagaimana pun menolak pelawaan Chua yang akhirnya berjumpa dengan Shu untuk merokok.

Chua berjumpa Shu lagi bagi tujuan sosial dan merokok pada 8 Jun 2020. Pada ketika itu, Chua menunjukkan gejala COVID-19 dan telah berjumpa doktor. Dia disahkan positif COVID-19, lewat hari itu.

MEMADAMKAN REKOD PERBUALAN

Pada peringkat awal proses pengesanan kontak, Chua tidak memberitahu pegawai bahawa dia telah menemui tiga rakannya.

Setelah mengetahui bahawa dia dijangkiti COVID-19, Chua menelefon Shu untuk memberitahu rakannya tentang diagnosis tersebut pada pagi yang sama. Chua juga meminta Shu memadamkan rekod perbualan WhatsApp mereka, yang membuktikan mereka telah bertemu semasa tempoh pemutus rantaian jangkitan.

Mereka juga membincangkan pelbagai senario untuk menerangkan pertemuan mereka dan bersetuju menggunakan alasan "terserempak" di sebuah pusat makanan, di mana mereka bersembang.

Chua kemudian menelefon Ng dan memberitahunya perkara yang sama, dan Ng memadamkan mesej yang menunjukkan mereka telah bersetuju untuk bertemu. Chua meminta Ng memberitahu Phan supaya memadamkan rekod perbualannya juga, tetapi Phan tidak melakukan sedemikian.

CHUA BUAT PENGAKUAN DALAM SURAT KEPADA MENTERI KESIHATAN

Pada 20 Jul 2020, lebih sebulan setelah disahkan positif COVID-19, Chua menulis surat kepada menteri kesihatan. Dia mengaku telah bertemu dengan Shu, Ng dan Phan berkali-kali sewaktu tempoh pemutus rantaian jangkitan.

Dalam suratnya, Chua mengaku sengaja menyembunyikan maklumat yang penting bagi pengesanan kontak dan menghalang usaha tersebut.

Dia juga mengaku telah berjumpa tiga rakannya dengan alasan hendak membeli barangan dapur, sekaligus melanggar peraturan COVID-19, membahayakan nyawa orang lain dan merancang respons yang diatur sekiranya pihak berkuasa mempunyai rakaman CCTV pertemuan mereka.

Setelah Chua mengirim surat tersebut, Shu, Ng dan Phan dihubungi oleh pihak berkuasa. Mereka dihadapkan ke mahkamah dan didenda antara S$3,500 dan $10,000 atas pelibatan mereka.

Timbalan Pendakwa Raya Joshua Lim pada Isnin meminta hukuman penjara selama enam hingga lapan minggu dan denda sebanyak S$17,000 untuk Chua.

Meski Chua akhirnya membuat pengakuan dalam suratnya kepada menteri, ia dilakukan lebih sebulan selepas didiagnosis, tambah Encik Lim.

Sumber : CNA/IH/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan