Lelaki pasang kamera pengintip di tandas Anytime Fitness dijel 6 bulan
Sean Lee Yang, 27 tahun, merakam lelaki membuang air kecil di cawangan Anytime Fitness di pusat beli-belah HillV2 sekitar 2 hingga 3 kali seminggu.
Sean Lee Yang di luar bangunan Mahkamah Negara pada 14 Okt 2021 (Gambar: Raj Nadarajan/TODAY)
SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 27 tahun dijatuhi hukuman penjara selama enam bulan pada Khamis (14 Okt) kerana secara haram membuat rakaman lelaki lain menggunakan tandas di sebuah cawangan Anytime Fitness di kawasan Bukit Batok.
Apabila seorang pekerja pembersihan menemui kamera pengintip pada cangkuk pakaian yang dipasang oleh Sean Lee Yang di bawah mesin pengering tangan, dia menyerahkannya kepada seorang kakitangan, yang kemudian menyimpannya dalam sebuah laci pejabat.
Lee berhasil mendapatkan semula kamera tersebut dan kemudian membuangnya bersama dengan kadi ingatan ke dalam pelongsor sampah bloknya di Segar Road. Kamera pengintip dan rakaman-rakamannya tidak dapat ditemui ataupun diperolehi semula.
Lee mengaku bersalah pada Khamis (14 Okt) atas satu tuduhan mengintai dan merosakkan rakaman elektronik untuk mengelakkannya dijadikan bukti.
Lee baru sahaja menamatkan pengajiannya di Universiti Nasional Singapura (NUS)dengan ijazah dalam bidang ekonomi dan belum bekerja semasa kesalahan-kesalahan itu dilakukan pada tahun lalu. Dia kini bertugas sebagai seorang pengurus akaun pelanggan di sebuah bank.
Dia memberitahu mahkamah melalui peguamnya bahawa dia merancang untuk mengemukakan rayuan terhadap hukumannya, dengan mengusulkan probesen atau perintah rawatan wajib. Dia dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu keputusan rayuannya.
APA YANG BERLAKU
Mahkamah diberitahu sekitar Ogos tahun lalu bahawa Lee membeli kamera pengintip itu daripada laman e-dagang Lazada untuk merakam kaum lelaki sedang membuang air kecil kerana dia suka menonton video-video seperti itu.
Tidak lama kemudian, dia pergi ke cawangan Anytime Fitness di pusat beli-belah HillV2 sekitar dua hingga tiga kali seminggu. Semasa menyalin pakaiannya, dia memasang kamera tersebut di bawah mesin pengering tangan, yang menghadap ke arah mangkuk tandas.
Dia kemudian mengambilnya kira-kira sejam kemudian setelah menamatkan sesi senamannya. Di rumah, dia menonton rakaman video itu di komputer ribanya dan menghapuskan video-video yang tidak merakam lelaki sedang membuang air kecil.
DAKWA DIDERA SECARA SEKSUAL DI THAILAND: PEGUAM
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Heershan Kaur mengusulkan hukuman penjara selama tujuh hingga sembilan bulan terhadap Lee dan berpendapat bahawa kesalahan-kesalahan itu amat sukar untuk dikesan dan Lee sudah menyalahgunakan kedudukannya sebagai seorang anggota Anytime Fitness.
DPP Kaur juga tidak bersetuju dengan permohonan peguam Lee, Johan Ismail yang meminta pihak mahkamah untuk menilai sama ada Lee sesuai untuk hukuman probesen atau perintah rawatan wajib.
Perintah rawatan wajib adalah pilihan hukuman masyarakat yang ditawarkan kepada pesalah yang mengalami masalah mental yang menyumbang kepada kesalahan mereka.
Lee didiagnosis dengan kecelaruan distimia, iaitu sejenis kecelaruan episod kemurungan major, dengan gejala seperti rasa cemas dan tekanan pasca trauma.
Peguam bela Lee memberitahu mahkamah bahawa sebahagian besar tempoh persekolahan anak guamnya adalah di Thailand di mana dia dipercayai didera secara seksual selama berbulan-bulan oleh guru sekolah rendahnya.
Lee kini sedang mendapatkan rawatan di Institut Kesihatan Mental (IMH). Ubat yang diberikan kepadanya "banyak membantunya" untuk tidak melakukan perkara yang sama sekali lagi, tambah peguam belanya.
Semasa menjatuhkan hukuman, Hakim Daerah Eddy Tham menegaskan bahawa pengalaman masa lalu Lee tidak seharusnya memaafkan tingkah lakunya dan memutuskan bahawa hukuman probesen atau perintah rawatan wajib jelas sekali tidak sesuai.
Bagi kesalahan mengintip, dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun, didenda, disebat atau sebarang gabungan hukuman tersebut.
Dia juga boleh dipenjara sehingga dua tahun atau didenda atau didenda, atau kedua-duanya sekali kerana memusnahkan bahan bukti.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.