Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki pasang iklan palsu di Carousell; perdaya 8 mangsa S$17,250

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang pemandu penghantaran Shopee memilih untuk menipu para penyewa yang berminat untuk menyewa flatnya semata-mata untuk melunaskan bil-bil yang tertunggak.

Lee Chee Tiong, 41 tahun, mengutip lebih S$17,000 dalam bentuk duit sewa daripada lapan mangsa yang terdesak untuk mencari tempat tinggal.

Malangnya, Lee tergamak berbuat demikian tanpa menyewakan rumahnya kepada mereka sama sekali.

Lee dijatuhi hukuman penjara selama 10 bulan pada Khamis (18 Jan) atas kesalahannya itu. Dia mengaku bersalah atas tiga tuduhan menipu dan lima lagi tuduhan turut diambil kira semasa hukuman tersebut dijatuhkan ke atasnya.

Mahkamah diberitahu bahawa Lee membawa pulang lebih S$3,000 setiap bulan sebagai seorang pemandu penghantaran. Dia menetap di sebuah flat di Bedok bersama isterinya.

Semasa Lee disoal siasat oleh polis pada Feb tahun lalu, dia mengaku bahawa dia tidak pernah berniat untuk menyewakan flatnya.

Dia mengiklankan flatnya di Carousell dengan tujuan semata-mata untuk memperolehi wang untuk kegunaan diri sendiri, termasuk untuk melunaskan hutangnya dengan tailong.

KEGELISAHAN DAN MENYUSAHKAN MANGSA

Pihak pendakwa yang mengusulkan hukuman penjara antara 10 hingga 12 bulan terhadap Lee sambil berhujah bahawa Lee menipu wang yang banyak iaitu S$17,250daripada lapan mangsa.

"Dengan berbuat demikian, Lee juga telah menyebabkan banyak kesulitan dan keresahan kepada mereka serta keluarga mereka, termasuk kanak-kanak kecil," tegas pihak pendakwa.

Ramai mangsa meninjau-ninjau flat tersebut bersama ahli keluarga dan mereka menjangkakan dapat berpindah dalam masa yang singkat. Sesetengah mangsa tidak menyedari bahawa mereka sudah diperdayakan sehinggalah pihak polis menghubungi mereka, dedah pihak pendakwa.

Peguam bela Lee, Riko Isaac Chua mengusulkan hukuman penjara tidak lebih daripada 10 bulan sambil berhujah bahawa anak guamnya mendapati "sangat sukar" untuk menyara keluarganya kerana dia adalah pencari nafkah tunggal dalam keluarganya.

Hakim bagaimanapun bertegas bahawa jelas sekali terdapat kepentingan awam untuk mencegah penipuan seumpama itu dan Lee malah sanggup menyiapkan perjanjian sewa semata-mata untuk memperdayakan para mangsanya.

Hakim membenarkan hukuman terhadap Lee ditangguhkan sehingga 8 Feb.

 



 

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan