Skip to main content

Singapura

Lelaki palsukan slip gaji untuk dapat kad kredit bagi beli bitcoin; diisytihar muflis

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang lelaki yang ingin mendapatkan kad kredit dengan had yang lebih tinggi supaya dapat membeli bitcoin, memalsukan slip gajinya seolah-olah dia menerima gaji yang lebih tinggi.

Perbuatannya itu memperdaya bank dalam memberikan kad kredit kepadanya.

Lin Mingzhong, 48 tahun tidak dapat membayar balik hutang kad kreditnya dan jatuh muflis. Ini mendorong siasatan dalaman dijalankan oleh pihak bank, yang kemudian membongkar jenayah Lin.

Dia mengaku bersalah di mahkamah hari ini (24 Jan) atas satu tuduhan memalsukan bagi tujuan menipu.

Mahkamah mendapati bahawa Lin mula melabur dalam bitcoin di sebuah platform online perdagangan mata wang kripto untuk memperoleh pendapatan tambahan pada awal tahun 2020.

Untuk mendapatkan dana membeli bitcoin, dia memutuskan pada Mac 2020 untuk mendaftar bagi kad kredit daripada Citibank. Semasa mendaftar, dia harus mengisytiharkan gaji bulanannya dan mengemukakan slip gaji sebagai bukti.

Pada waktu itu, Lin bekerja dengan Singapore Green Engineers dan dibayar gaji S$6,000 sebulan.

Dia memutuskan untuk memalsukan pengisytiharan gajinya kepada gaji lebih tinggi untuk mendapatkan kad dengan had kredit yang lebih tinggi.

Lin menggunakan slip gaji yang diterima sebelum ini daripada bekas majikannya, Mediacorp, pada Oktober 2019 sebagai contoh. Slip gaji itu menggambarkan gaji bulanan sebanyak S$8,100.

Menggunakan komputer, Lin membuat dua salinan slip gaji itu dan menyuntingnya seolah-olah slip itu diberikan oleh Singapore Green Engineers pada Januari 2020 dan Februari 2020.

Dia menghantar borang pendaftaran kad kredit itu dengan slip gaji palsu tersebut dan berjaya memperdaya Citibank. Citibank memberikan kad kredit dengan had S$32,400, empat kali ganda gaji yang diisytiharkan.

Lin menerima kad kredit itu dan terus menggunakannya untuk membeli bitcoin berjumlah S$31,472.12 pada 24 Mac 2020.

Dia tidak membayar hutang daripada pinjaman tersebut dan Citibank membatalkan kad kreditnya pada 15 Jun 2020. Sehingga 17 Ogos 2020, baki tertunggak yang perlu dibayar bagi kad itu adalah S$33,638.95, termasuk bunganya.

Pemalsuan yang dibuat Lin menyebakan bank mengalami kerugian sebanyak S$9,638.95, kata pendakwa raya.

Pada awal Ogos 2020, Cawangan Pengurusan Risiko Penipuan Negara Citibank menyiasat kegagalan Lin untuk membuat sebarang bayaran bagi hutang kad kreditnya.

Sebagai sebahagian daripada siasatan, mereka menyemak dengan Singapore Green Engineers, yang memaklumkan kepada bank bahawa gaji bulanan Lin hanya S$6,000.

Bank itu kemudian memfailkan aduan polis dan Lin diisytiharkan muflis kerana dia tidak dapat membayar balik hutang kad kreditnya dengan Citibank dan bank lain.

Semasa mengemukakan rayuan, Lin berkata dia "rasa kehilangan" pada waktu itu disebabkan penglibatannya dalam mata wang kipto yang menyebabkan dirinya mengalami kerugian S$300,000 hingga S$400,000.

Dia akan kembali dihadapkan ke mahkamah bulan depan untuk mengemukakan rayuan dan dijatuhi hukuman.

Bagi kesalahan melakukan pemalsuan untuk menipu, dia boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan denda.

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita