Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki M'sia dipenjara 12 bulan, seludup 26 anak anjing ke SG; 19 mati

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang lelaki dikenakan hukuman penjara 12 bulan pada Isnin (24 Apr)kerana menyeludup 27 haiwan peliharaan dari Malaysia ke Singapura, dengan ada yang disimpan di dalam beg baju kotor. 

Seekor daripada 27 anak anjing itu ditemui mati dan lagi 18 yang lain juga kemudian mati akibat penyakit. 

Gobysuwaran Paraman Sivan dijatuhi hukuman kerana mengimport haiwan peliharaan secara haram tanpa lesen dan menyeksa  haiwan itu, menurut Lembaga Taman Negara (NParks) dalam satu kenyataan media pada Isnin (24 Apr). 

Lelaki Malaysia berusia 36 tahun itu, menyeludup 26 ekor anak anjing dan seekor kucing di dalam sebuah lori dari Malaysia pada 18 Oktober 2022, dalam apa yang disifatkan oleh NParks sebagai "salah satu kes penyeludupan haiwan paling serius setakat ini". 

19 DARIPADA 26 ANAK ANJING MATI 

Pada Oktober 2022, pegawai imigresen di Pusat Pemeriksaan Tuas menahan sebuah lori berdaftar Malaysia dan menemui 27 haiwan peliharaan yang disembunyikan di beberapa kompartmen lori tersebut, menurut NParks. 

Para pegawai mendapati  beberapa haiwan itu disimpan di dalam beg baju kotor dan diletakkan di kompartmen di atas kepala pemandu. Haiwan-haiwan yang lain disimpan di belakang kerusi pemandu dan penumpang dalam bekas-bekas plastik. 

Seekor anak anjing ditemui sudah mati apabila tiba di imigresen dan ujian makmal mengesan penyakit parvovirus pada baki anak anjing lainnya. Sebanyak 18 ekor kemudian mati. 

Parvovirus merupakan punca penyakit perut atau usus akut pada anjing kecil yang tidak divaksin, dan ia mudah berjangkit. 

Di bawah Akta Haiwan dan Burung, pesalah kali pertama yang ditangkap mengimport haiwan atau burung tanpa lesen berdepan denda sehingga S$10,000, dipenjara sehingga 12 bulan, atau kedua-duanya sekali. 

Akta Spesies Terancam (Import dan Eksport), yang menyelia perdagangan spesies liar yang dilindungi di bawah CITES, dipinda pada 2022 untuk menetapkan hukuman lebih berat terhadap perdagangan haram haiwan liar.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan