Lelaki minta dibicara; bawa masuk 6 orang dalam flat semasa Fasa 1
Seorang lelaki minta dibicarakan pada Khamis (5 Nov) atas satu tuduhan membenarkan enam orang memasuki flatnya semasa Fasa 1 pembukaan semula Singapura ketika sebarang perhimpunan sosial dilarang. Perbicaraan itu adalah yang pertama seumpamanya.

Petikan gambar Google Street View Blok 22, Havelock Road.
SINGAPURA: Seorang lelaki minta dibicarakan pada Khamis (5 Nov) atas satu tuduhan membenarkan enam orang memasuki flatnya semasa Fasa 1 pembukaan semula Singapura ketika sebarang perhimpunan sosial dilarang. Perbicaraan itu adalah yang pertama seumpamanya.
David Elanggo 25 tahun mempertikaikan tuduhan melanggar Syarat 4(4) Peraturan COVID-19 yang mendakwa warga Malaysia itu membenarkan enam lelaki memasuki flatnya di Blok 22 Havelock Road pada 11 Jun tahun ini.
Pegawai Polis Gerald Wong yang dikerahkan ke kediaman itu pada hari kejadian memberikan keterangannya bagi pihak pendakwa dan menerangkan bagaimana pasukannya dimaklumkan mengenai jenayah tersebut.
Seorang wanita mengirimkan mesej kepada pihak polis yang mendakwa bahawa beliau ternampak sekumpulan orang 'berkelahi' dalam sebuah flat.
Encik Wong yang sedang meronda di kawasan itu bersama rakan kerjanya ternampak tujuh hingga lapan lelaki berada di sebuah taman permainan saling mengucapkan selamat tinggal.
"Menurut maklumat yang diperolehi daripada lelaki-lelaki tersebut, mereka berkumpul di sebuah unit di 22 Havelock Road bagi menghadiri satu majlis keramaian kerana salah seorang rakan mereka akan meninggalkan Singapura dan atas sebab itu mereka meraikannya dalam unit berkenaan," kata Encik Wong.
Menurut Encik Wong, seorang lagi rakan kerjanya ternampak 12 orang berada di dalam unit tingkat satu itu.
Seorang lagi pegawai polis yang mengambil keterangan termasuk keterangan daripada Elanggo memberitahu mahkamah bahawa Elanggo pada mulanya tenang dan memberikan kerjasamanya.
"Misalnya, apabila saya bertanya, 'Tahukah anda tentang langkah-langkah jarak selamat COVID-19 yang sedang dikuatkuasakan sekarang?', beliau menjawab 'ya' dan mengatakan bahawa syarikatnya ada memaklumkannya mengenai perkara tersebut," kata pegawai polis wanita itu.
Menurut pegawai polis itu lagi, Elanggo juga berkata bahawa dia mengetahui ia adalah satu kesalahan di sisi undang-undang untuk mengadakan perhimpunan sosial semasa tempoh tersebut.
Dia kemudian berkata bahawa dia berkumpul dengan rakan-rakan kerjanya bagi majlis keramaian itu dan beberapa orang sudahpun berada di flat berkenaan apabila dia tiba di flat tersebut.
Saksi ketiga, salah seorang rakan Elanggo yang turut menghadiri majlis keramaian itu memberitahu mahkamah bahawa mereka berkumpul di flat berkenaan kerana dua rakan kerja mereka akan pulang ke Malaysia.
Menurut saksi itu, dia pada mulanya tidak mahu menghadirinya tetapi kemudian memberitahu Elanggo bahawa dia datang juga kerana "ramai daripada mereka yang memintanya menghadiri" keramaian itu.
Kata saksi ketiga itu, Elanggo baru saja habis mandi apabila dia tiba pada pukul 9.00 malam.
Menurutnya lagi, dia berada di flat itu selama lebih sejam sehingga para pegawai polis tiba pada pukul 10.30 malam.
Jika didapati bersalah kerana melanggar peraturan COVID-19, Elanggo boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.