Skip to main content

Singapura

Lelaki merokok di luar kawasan ditetapkan didenda kerana maki hamun pegawai penguatkuasaan

Seorang lelaki yang merokok di luar kawasan merokok yang ditetapkan di Lucky Plaza didenda S$3,000 pada Selasa (20 Apr) kerana memaki hamun seorang pegawai penguatkuasaan yang dilantik oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki merokok di luar kawasan ditetapkan didenda kerana maki hamun pegawai penguatkuasaan

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 20 Apr 2021 10:03PM Dikemas Kini : 20 Apr 2021 10:08PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang merokok di luar kawasan merokok yang ditetapkan di Lucky Plaza didenda S$3,000 pada Selasa (20 Apr) kerana memaki hamun seorang pegawai penguatkuasaan yang dilantik oleh Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA).

Muhammad Raynie Mokhtar, 34 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang penjawat awam.

Mahkamah diberitahu bahawa mangsa sedang menjalankan tugas penguatkuasaan di Lucky Plaza di Orchard Road pada sekitar pukul 4.30 petang pada 7 Feb tahun lalu apabila beliau ternampak Raynie merokok di luar kotak yang ditetapkan.

Beliau mula menulis surat saman kepada Raynie, yang naik berang lalu menghamburkan kata-kata kesat terhadap pegawai itu, seorang lelaki Malaysia berusia 30 tahun.

Raynie menolak surat saman itu lalu mengambil kad pengenalannya dari mangsa dalam kejadian yang dirakam kamera yang disarungkan pada tubuh mangsa.

Raynie kemudian menghubungi "999" dan memberitahu polis: "Saya berada hanya beberapa sentimeter dari tempat merokok. Kemudian Certis Cisco menepuk bahu saya dan berkata saya sedang merokok di luar kotak itu. Saya perlukan polis di sini. Mereka menyalahguna kuasa mereka."

Pihak pendakwa meminta denda sekurang-kurangnya S$3,000 dikenakan ke atasnya. Raynie, yang tidak diwakili peguam, berkata dia ingin menjelaskan apa yang berlaku.

Dia mendakwa bahawa mangsa berlagak dan menunjukkan sikap "memandang rendah" terhadapnya. Tambah Raynie, dia mengakui kesilapannya namun tidak melarikan diri.

Menurutnya dia "naik marah" apabila nampak seorang penunggang motosikal yang mempunyai nombor plat Malaysia sedang merokok, dan mangsa menyapa 'hi' kepada individu tersebut.

"Secara terus terang - pada waktu itu, kamera tubuhnya menghala pada saya, ia bukan (pada mangsa), raut wajahnya kelihatan sombong," katanya. "Saya ingin anda faham mengapa. Saya bukan xenofobia, teman serumah saya seorang warga Malaysia."

Raynie berkata dia sanggup bekerjasama sehingga mangsa mula menunjukkan sikap "memandang rendah" kepadanya.

Pihak pendakwa membalas dengan berkata bahawa dia tidak berhak menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai penguatkuasaan.

Apabila ditanya bagaimana dia akan membayar denda yang dikenakan, Raynie berkata dia hanya mempunyai S$2 di dalam akaun bank dan sedang "mengumpul wang" kerana diperlukan bagi sambutan Hari Raya keluarganya.

Hakim membenarkannya membayar denda secara ansuran sebelum Julai 2021.

Atas kesalahan menggunakan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai awam, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun, didenda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita