Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki meninggal dunia akibat serangan jantung disahkan positif COVID-19 selepas kematian

Seorang lelaki berusia 53 tahun yang meninggal dunia kerana serangan jantung akibat darah beku disahkan positif COVID-19 selepas kematiannya, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin ( 11 Mei). 

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki meninggal dunia akibat serangan jantung disahkan positif COVID-19 selepas kematian

Hospital Besar Sengkang dibuka pada 23 Mac 2019. (Gambar: SKGH)

Diterbitkan : 12 May 2020 09:44AM Dikemas Kini : 12 May 2020 09:47AM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 53 tahun yang meninggal dunia kerana serangan jantung akibat darah beku disahkan positif COVID-19 selepas kematiannya, menurut Kementerian Kesihatan (MOH) pada Isnin ( 11 Mei).

Warga India itu dikejarkan ke unit kecemasan Hospital Besar Sengkang pada Sabtu setelah mengalami serangan jantung, lapor MOH semasa memberikan kemas kini hariannya.

Beliau meninggal dunia pada Sabtu dan disahkan dijangkiti virus korona itu pada Ahad setelah kematiannya.

"Punca kematian adalah infarksi miokardium yang pecah akibat trombosis koronari," menurut kementerian itu.

Beliau adalah kes COVID-19 keempat sejak permulaan April yang meninggal dunia akibat masalah jantung dan punca kematian tidak ada kaitan dengan virus korona itu. Kematiannya tidak diambil kira dalam perangkaan kematian rasmi COVID-19.

"Hanya kes-kes kematian yang sebab utama atau sampingannya dikatakan oleh doktor atau pakar patologi yang merawatnya adalah akibat jangkitan COVID-19 akan diambil kira dalam jumlah korban COVID-19," jelas MOH.

"Ini konsisten dengan amalan antarabangsa bagi mengklasifikasikan kematian."

Trombosis koronari adalah pembentukan darah beku dalam pembuluh darah jantung sekali gus menyekat pengaliran darah. Ini boleh membawa kepada infarksi miokardium - terma perubatan bagi serangan jantung - yang berlaku apabila aliran darah ke sebahagian daripada jantung.
menjadi perlahan atau terhenti.

Ia adalah berbeza daripada kardium terhenti (cardiac arrest) iaitu apabila jantung tidak dapat mengepam secara berkesan lantas menyebabkan kehilangan pengaliran darah secara tiba-tiba.

"Pada 2018, 86 pekerja asing lelaki berusia antara 25 dengan 59 tahun meninggal dunia akibat penyakit jantung di Singapura," menurut MOH.

Laporan daripada para doktor di China, Eropah dan Amerika Syarikat mengambil perhatian terhadap komplikasi berbahaya COVID-19 - pembekuan darah.

"Kejadian trombotik" ini berlaku kerana pelbagai sebab dalam kalangan pesakit rawatan rapi tetapi kadarnya dalam kalangan pesakit COVID-19 jauh lebih tinggi daripada yang dijangkakan, lapor AFP.

Makalah yang diterbitkan baru-baru ini dari Belanda dalam jurnal 'Thrombosis Research' mendapati 31 peratus daripada 184 pesakit mengalami komplikasi trombotik, angka yang disebut oleh para penyelidik sebagai "sangat tinggi" - walaupun kesan yang melampau, seperti amputasi, jarang berlaku.

SATU KEMATIAN COVID-19

MOH melaporkan kematian ke-21 akibat COVID-19 pada Isnin (11 Mei).

Kes 1305, seorang warga tempatan berusia 68 tahun, meninggal dunia akibat COVID-19 pada Isnin.

Beliau disahkan positif COVID-19 pada 5 April dan mempunyai sejarah tekanan darah tinggi serta kolestrol tinggi.

Lelaki itu dikaitkan dengan dua lagi pesakit COVID-19 - kes-kes 1660 dan 3984.

Kes 1660 adalah wanita Singapura berusia 65 tahun yang diuji positif COVID-19 pada 8 April. Beliau dimasukkan ke Pusat Nasional bagi Penyakit Berjangkit (NCID).

Kes 3984 ialah seorang budak lelaki Singapura berusia tujuh tahun yang disahkan dijangkiti COVID-19 pada 15 April. Beliau sudahpun dibenarkan pulang setelah sembuh sepenuhnya.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan