Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki mengaku suruh anak ambil pil tidur berlebihan selepas bertengkar dengan isteri

Oleh kerana dia berasa marah selepas bergaduh dengan isteri, seorang lelaki memberi dos ubat tidur berlebihan kepada anak perempuannya yang berusia 11 tahun. Ini menyebabkan kanak-kanak itu dirawat di hospital selama lebih sebulan.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki mengaku suruh anak ambil pil tidur berlebihan selepas bertengkar dengan isteri

(Gambar hiasan: Mediacorp)

Diterbitkan : 12 Nov 2020 12:34AM Dikemas Kini : 12 Nov 2020 12:41AM

SINGAPURA: Oleh kerana dia berasa marah selepas bergaduh dengan isteri, seorang lelaki memberi dos ubat tidur berlebihan kepada anak perempuannya yang berusia 11 tahun. Ini menyebabkan kanak-kanak itu dirawat di hospital selama lebih sebulan.

Lelaki tersebut kemudian memberitahu anaknya supaya berbohong kepada polis dengan mengaku mengambil ubat tidur kerana ingin membunuh diri.

Pada Rabu (11 Nov), lelaki berusia 40 tahun itu mengaku bersalah atas tiga tuduhan menganiaya kanak-kanak di bawah jagaannya, sengaja mengelirukan proses keadilan dan menggunakan kata-kata kesat terhadap polis. Tiga lagi tuduhan akan diambil kira semasa penjatuhan hukuman.

Semua pihak tidak boleh dinamakan dalam kes ini atas perintah mahkamah, demi melindungi identiti mangsa.

Mahkamah diberitahu, lelaki itu tinggal berasingan daripada isterinya semasa kesalahan dilakukan pada April 2018 kerana pertikaian rumah tangga.

Mangsa berada di bawah jagaannya ketika itu. Pada malam 7 April 2018, mangsa berasa tidak sihat dan meminta ibunya supaya membawanya ke doktor.

Oleh kerana ibu mangsa tidak mahu bertemu muka dengan tertuduh, beliau menyuruh mangsa menaiki teksi ke flatnya. Pada malam tersebut, tertuduh menelefon isterinya dan bertengkar dengannya di telefon.

Pada awal pagi 8 Apr 2018, dia memanggil mangsa supaya masuk ke biliknya lalu menyuruh mangsa mengambil sebotol pil ubat tidur yang diberikan doktor kepada nenek mangsa.

Dia masih marah selepas pertengkaran lebih awal dengan isterinya lalu mengarahkan anaknya untuk mengambil pil tersebut yang mengandungi amitriptilina, sejenis bahan yang tersenarai sebagai racun di bawah Akta Racun.

Mangsa berasa bingung lalu mengambil enam pil, sebelum ke taman permainan seperti yang disuruh bapanya. Suspek memberitahu mangsa bahawa dia ingin membuktikan kepada isterinya, bahawa masalah rumah tangga menyebabkan mangsa berasa tertekan, dan ibunya yang "bersalah kerana tidak menjaga anaknya sendiri dengan baik".

Tertuduh seterusnya mengarahkan anaknya agar mengambil beberapa lagi pil, dan mangsa mendengar kata-katanya. Mangsa bagaimanapun mula berasa lemah dan mengantuk selepas itu, sebelum akhirnya pengsan.

Bapanya membawanya ke rumah isterinya dan semasa dalam perjalanan, dia menelefon 995 bagi bantuan kecemasan. Apabila tiba di flat, ibu mangsa membuka pintu dan melihat anaknya terbaring di lantai. Suami beliau memberitahunya bahawa beliau bertanggungjawab sepenuhnya jika apa-apa terjadi kepada mangsa.

Mangsa dibawa ke hospital tidak lama selepas itu dan disahkan mengambil amitriptilina secara berlebihan. Mangsa juga didapati dalam keadaan "mental tidak stabil", mabuk dan tidak dapat bercakap.

DISURUH BERBOHONG KEPADA POLIS

Mangsa dirawat di hospital selama lebih sebulan. Apabila tertuduh menzirahinya di hospital, dia menyuruh mangsa memberi keterangan palsu kepada polis.

Tertuduh menyuruh mangsa memberitahu sesiapa sahaja yang bertanya tentang apa yang berlaku, bahawa beliau sendiri yang mengambil pil untuk membunuh diri.

Polis menyiasat kanak-kanak itu atas kesalahan percubaan membunuh diri berdasarkan peristiwa pada 8 April 2018. Keterangan diambil daripada mangsa semasa bapanya berada di sisinya.

Mangsa memberitahu pegawai polis bahawa beliau secara sukarela mengambil pil-pil tersebut kerana berasa keluarga tidak mempedulikannya. Dia juga mengaku ingin membunuh diri.

Mangsa menambah bahawa beliau kesal kerana menyusahkan begitu ramai orang. Polis kemudian memberitahunya bahawa tiada tindakan lanjut akan diambil. Kesalahan bapa mangsa hanya terbongkar apabila mangsa memberitahu para pekerja khidmat sosial tentang insiden yang berlaku pada Ogos 2018 itu.

Lelaki itu juga mengaku bersalah kerana memaki hamun para pegawai polis pada Januari tahun lalu, semasa diminta memberi kad pengenalan, ketika mereka menangani satu panggilan tentang lelaki-lelaki yang "mengambil bahan bergulung".

Pesalah akan kembali ke mahkamah bagi rayuan dan penjatuhan hukuman pada bulan depan.

Atas kesalahan menganiaya anak di bawah jagaannya, dia boleh dipenjara sehingga empat tahun, didenda sehingga S$4,000, atau kedua-duanya sekali. Bagi kesalahan menghalang proses keadilan pula, dia boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda atau kedua-duanya sekali. Dia juga berdepan hukuman penjara sehingga setahun, didenda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya, kerana menghina seorang kakitangan awam.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan