Lelaki mengaku salah seludup 20 tanduk badak bernilai S$1.2 juta melalui SG

Gambar: Lembaga Taman Negara (NParks)
SINGAPURA: Selepas menerima tawaran tiket penerbangan pulang dan wang oleh seorang kenalan, untuk menyeludup tanduk badak dari Afrika Selatan ke Laos, Sthembiso Joel Gumede ditangkap ketika singgah di Singapura.
Dia membawa 20 tanduk bernilai kira-kira S$1.2 juta.
Ia adalah rampasan terbesar di Singapura sejauh ini, yang termasuk tanduk daripada jenis badak hitam yang terancam, seperti dimaklumkan kepada mahkamah.
Gumede, seorang rakyat Afrika Selatan 33 tahun, hadir di mahkamah pada Rabu (24 Jan), di mana dia mengaku bersalah di atas dua tuduhan di bawah Akta Spesis Terancam.
Dia akan pulang ke mahkamah pada 26 Januari untuk hukuman dijatuhkan.
Menurut mahkamah Gumede dikenalkan dengan seorang yang terlibat dengan perdagangan tanduk badak secara haram, Jaycee Israel Marvatona, di Afrika Selatan oleh seorang rakannya.
Pada September 2022, Encik Marvatona meminta Gumede untuk menyeludup tanduk badak dari Afrika Selatan ke Laos, melalui Singapura.
Sebagai balasan, Encik Marvatona menyediakan tiket pergi dan balik serta wang. Jumlah tersebut tidak dinyatakan dalam dokumen mahkamah.
PENEMUAN TANDUK BADAK
Pada pagi 4 Oktober 2022, Cik Norizan Salleh, seorang pegawai pemeriksaan bagasi dengan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), sedang menyaring gambar X-ray bagasi transit ketika dia melihat dua kotak kadbod dibalut dengan bungkusan plastik.
Selepas kotak tersebut ditahan, Gumede dimaklumkan melalui pengumuman awam untuk melaporkan diri kepada Markas Polis Lapangan Terbang Changi, di mana dia diiringi ke bilik pemeriksaan.
Di situ, kedua-dua kotak dibuka di hadapannya, di mana ia mengandungi 20 tanduk badak seberat kira-kira 34.7 kilogram, kata Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Lee Da Zhuan.
Setakat 4 Oktober 2022, nilai borong tanduk badak tersebut dianggarkan sebanyak S$1,200,140.
Analisis oleh pakar NParks mengesahkan bahawa kesemua 20 tanduk adalah tanduk badak asli yang berasal dari dua spesis terancam, badak putih dan badak hitam, yang dikategorikan sebagai sangat terancam.
RAMPASAN TANDUK BADAK TERBESAR
Rampasan itu yang disifatkan sebagai rampasan tanduk badak terbesar setakat ini, DPP Lee menekankan bahawa perlunya untuk menghalang perdagangan hidupan liar dan mengeluarkan mesej yang jelas bahawa Singapura komited untuk melindungi dan memelihara keseimbangan ekosistem yang mudah terkesan.
Bagi setiap tuduhan mengeksport atau eksport semula sebarang spesis yang dijadualkan tanpa permit CITES, Gumede boleh dipenjara sehingga dua tahun, atau didenda S$50,000 bagi setiap spesis, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.