Skip to main content

Singapura

Lelaki mengaku pecah masuk maktab rendah kosong pada 2020 untuk mencuri wayar, kos pembaikan berjumlah S$1.24 juta

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki mengaku pecah masuk maktab rendah kosong pada 2020 untuk mencuri wayar, kos pembaikan berjumlah S$1.24 juta

(Gambar: TODAY, Google Street View)

Diterbitkan : 21 Dec 2022 02:21PM Dikemas Kini : 21 Dec 2022 06:37PM
SINGAPURA: Seorang lelaki mengaku menceroboh sebuah maktab rendah yang kosong pada 2020 dan mencuri wayar dan kabel elektrik untuk dijual kepada kedai kitar semula untuk keuntungan.

Kos pembaikan di kampus kosong milik Kementerian Pendidikan (MOE) itu berjumlah S$1.24 juta.

Miah Shobus, yang pada mulanya ingin meminta dibicarakan, mengaku bersalah pada Selasa (20 Dis) atas empat pertuduhan pecah masuk untuk mencuri. 10 lagi tuduhan akan dipertimbangkan.

Mahkamah diberitahu bahawa Miah, 32, berpakat bersama seorang warga Bangladesh, Jan Shak Mohabbat dan seorang warga Singapura, Om Shakti Tiwari, untuk memecah masuk ke dalam bangunan itu dan mencuri wayar tembaga serta kabel elektrik.
KEROSAKAN TERUK: PENDAKWA

Kos kerja-kerja pembaikan terhadap kerosakan yang dilakukan di Maktab Rendah Jurong (JJC) dianggarkan sekitar S$400,000, manakala ia menelan belanja sekitar S$840,000 untuk memperbaiki kerosakan di Maktab Rendah Tampines (TPJC). Kos keseluruhan untuk membekalkan kabel elektrik semula di kedua-dua kampus bernilai itu S$1.24 juta, kata Timbalan Pendakwa Raya Ong Xin Jie.

Beliau meminta hukuman penjara 34 bulan bagi Miah, kerana kerosakan besar dilakukan kepada harta benda tersebut dan Miah sudah merancang perbuatannya.

"Lebih-lebih lagi, JJC dan TPJC adalah harta benda yang dimiliki MOE," kata Encik Ong. "Dana awam perlu digunakan untuk memperbaiki kerosakan yang dilakukan. Ia adalah faktor yang memburukkan keadaan."

Kesalahan dilakukan pada waktu malam ketika tiada orang menyedari dan disebabkan sifat tamak serta kepentingan diri, kata pendakwa. Berlakunya pelbagai kesalahan pada tempoh enam bulan itu.

Jan diberi hukuman penjara 34 bulan manakala Tiwari diberi hukuman penjara selama 42 bulan.

Miah akan kembali ke mahkamah untuk dijatuhkan hukuman pada 23 Disember.

Dalam respons kepada Mediacorp pada May 2020 mengenai pencurian wayar itu, MOE menyatakan ia sedar akan insiden tersebut di bekas kampus Maktab Rendah Tampines dan Maktab Rendah Jurong, dan sudah memanggil kontraktor untuk menyediakan perkhidmatan pembaikan dan perkhidmatan keselamatan.

Maktab Rendah Tampines dan Maktab Rendah Jurong sudah bergabung untuk menjadi Maktab Rendah Tampines Meridian yang terletak di bekas kawasan Maktab Rendah Meridian. Manakala Maktab Rendah Jurong sudah bergabung bersama Maktab Rendah Pioneer untuk dijadikan Maktab Rendah Jurong Pioneer.
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita