Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki mengaku 'Nabi': MUIS seru mereka yang ada bukti kukuh tampil bantu siasatan selewatnya 11 Dis

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hari ini (27 Nov) sekali lagi meminta anggota masyarakat yang mempunyai maklumat atau bukti kukuh supaya tampil 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) hari ini (27 Nov) sekali lagi meminta anggota masyarakat yang mempunyai maklumat atau bukti kukuh supaya tampil membantu siasatan berkenaan seorang lelaki yang didakwa mengaku dirinya Nabi dan mengamalkan 'nikah batin'.

Mereka yang mempunyai bahan bukti boleh dipercayai, menurut MUIS termasuklah emel, dokumen, catatan kuliah, rakaman suara atau video, dipelawa menyerahkannya kepada MUIS selewat-lewatnya pada 11 Disember ini.

Mereka boleh melakukannya secara peribadi di Hab Islam Singapura atau menerusi kiriman emel ke info [at] muis.gov.sg.

Pelawaan itu khususnya kepada individu-individu yang terlibat secara langsung dengan kumpulan tersebut atau mereka yang mengikuti kelas-kelas agama yang dikendalikan lelaki berkenaan.

MUIS pada 10 November lalu juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa ia akan bekerjasama dengan pihak berkuasa yang relevan bagi menyiasat lebih lanjut kegiatan melibatkan lelaki itu.

Gambar fail para asatizah pada 2019. (Gambar: Mediacorp)

MANFAATKAN SUMBER ASATIZAH ARS

Dalam pada itu, MUIS menekankan lagi tentang peri pentingnya masyarakat mendapatkan bimbingan dan pengetahuan agama dari asatizah yang boleh dipercayai dan bertauliah di bawah Skim Pengiktirafan Asatizah (ARS).

ARS menurut MUIS, ditubuhkan bagi memastikan masyarakat mendapatkan akses kepada asatizah-asatizah yang bertauliah dan berdaftar dengan sekolah-sekolah agama atau madrasah.

Di bawah ARS, ia menyediakan modul Kod Etika yang memastikan asatizah mengajar dan bertindak berpandukan garis panduan yang ditetapkan MUIS.

Selain asatizah, masjid-masjid tempatan juga menganjurkan kelas-kelas agama seperti ADIL dan aLIVE, selain sesi ceramah bagi ibu bapa dan kanak-kanak yang ingin menimba ilmu agama.

Pelbagai kandungan keagamaan juga disediakan oleh Rangkaian Belia Asatizah Asatizah Youth Network menerusi Salam SG TV.

Dengan pebagai sumber yang tersedia ini, MUIS berharap masyarakat Muslim Singapura dapat memanfaatkan sepenuhnya sumber-sumber tersebut.

"Mereka (masyarakat Muslim) harus berwaspada terhadap bahaya ajaran sesat, dan membuat pengesahan dengan MUIS atau Pejabat Skim Pengiktirafan Asatizah jika ada individu yang menyebarkan ajaran yang meragukan," menurut MUIS dalam kenyataan medianya.

BANTUAN DIHULURKAN KEPADA GOLONGAN YANG TERJEJAS

MUIS menambah, ia juga sedia maklum tentang individu dan keluarga yang terjejas dengan insiden tersebut.

Menurutnya lagi, golongan tersebut sudah tampil untuk mendapatkan bantuan.

Di pihak MUIS pula, bantuan sedang diberikan kepada mereka.

MUIS turut menggesa orang ramai agar memainkan tanggungjawab sosial dan tidak menggunakanwadah media sosial untuk menuduh dan memburuk-burukkan serta berkongsi maklumat peribadi mereka yang dikatakan terlibat dalam kumpulan ajaran sesat itu seperti menyebarkan gambar. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan