Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki mengaku bersalah tumbuk anjing; berulang kali pukul dengan penyangkut baju

Seorang lelaki berusia 42 tahun yang menganiaya anjingnya dan merakam perbuatannya itu atau menyuruh orang lain merakamkannya, mengaku bersalah di mahkamah pada Rabu (8 Sep).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki mengaku bersalah tumbuk anjing; berulang kali pukul dengan penyangkut baju

Petikan skrin video Clement Chia Tian Xiang menganiayai anjing. (Gambar: Brenda Tan/Facebook)

Diterbitkan : 08 Sep 2021 07:26PM Dikemas Kini : 08 Sep 2021 07:31PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 42 tahun yang menganiaya anjingnya dan merakam perbuatannya itu atau menyuruh orang lain merakamkannya, mengaku bersalah di mahkamah pada Rabu (8 Sep).

Clement Chia Tian Xiang mengaku bersalah atas empat tuduhan menganiaya anjing itu antara Oktober 2016 dengan November 2017. Pada ketika itu, anjing tersebut berusia sekitar empat tahun.

Mahkamah diberitahu bahawa dia membeli seekor anjing 'toy poodle' yang diberi nama Leslie pada 2016 dengan harga S$2,000.

Dalam enam video yang dimainkan di mahkamah - sama ada dirakam olehnya atau sepupunya atas permintaannya - Chia boleh dilihat memukul anjing itu menggunakan penyangkut baju, menumbuknya dan meniup kipas ke arah anjing itu ketika bulunya masih basah.

Dalam kebanyakan video, mulut atau kaki anjing tersebut diikat. Anjing itu juga boleh didengar mengerang kerana kesakitan dalam sesetengah video.

Dalam satu video selama 35 saat yang dirakam oleh sepupu Chia, dia mengikat mulut anjing itu menggunakan tali putih dan berkali-kali menumbuk anjing itu. Dia juga berulang kali memukul anjing tersebut menggunakan penyangkut baju pada bahagian kaki belakang kanan dan kaki depan kanan.

Sepupunya didenda S$4,500 pada Julai tahun ini kerana tidak menghentikan penganiayaan itu.

Kesalahan-kesalahan itu terbongkar pada Julai 2020 - tiga hingga empat tahun selepas kesalahan-kesalahan berkenaan dilakukan - apabila video-video tersebut dikongsi ramai pengguna di Facebook.

Ramai pengguna terkejut setelah menonton video-video itu dan memaklumkan penderaan itu kepada pihak berkuasa. Anjing itu diserahkan kepada bekas teman wanita Chia pada 2017 dan ia kini dalam keadaan sihat.

Hakim Daerah Lorraine Ho mengarahkan pihak pendakwa mendapatkan keterangan daripada pemilik baru anjing itu untuk mengetahui tentang keadaan anjing malang itu semasa beliau mengambil alih haiwan berkenaan daripada Chia dan sejauh mana ia terjejas dengan penganiayaan tersebut.

Chia sebelum ini didapati bersalah atas kesalahan-kesalahan lain termasuk mencuri, memilikii filem-filem lucah dan merusuh. Sabitan terkininya adalah pada September 2015 kerana merusuh dan berkelakuan tidak senonoh.

Bagi setiap tuduhan menganiaya haiwan, Chia boleh didenda sehingga S$15,000 dan dihukum penjara sehingga 18 bulan.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan