Lelaki mengaku bersalah terbang dron secara haram, bahayakan 2 pesawat RSAF
Dua kapal terbang Angkatan Udara Singapura (RSAF) terpaksa dilencongkan apabila seorang lelaki menerbangkan dron secara haram ke dalam laluan penerbangan mereka hampir-hampir saat ia dijadualkan mendarat di Pangkalan Udara Tengah.
Dron DJI Mavic 2 Zoom. (Gambar fail: iStock)
SINGAPURA: Dua kapal terbang Angkatan Udara Singapura (RSAF) terpaksa dilencongkan apabila seorang lelaki menerbangkan dron secara haram ke dalam laluan penerbangan mereka hampir-hampir saat ia dijadualkan mendarat di Pangkalan Udara Tengah.
Kejadian berlaku pada September 2020.
Kehadiran dron itu, yang dikesan aeroskop pangkalan udara tersebut, juga menyebabkan RSAF menutup landasan yang terjejas selama setengah jam.
Jason Ng Yok Sen, 43 tahun, mengaku bersalah pada Selasa (12 Apr) atas tiga kesalahan navigasi udara. Lagi 14 tuduhan akan dipertimbangkan apabila dia kembali ke mahkamah untuk dijatuhi hukuman lewat minggu ini.
Semasa insiden itu pada 8 Sep 2020, Ng sedang mengendalikan dron DJI Mavic 2 Zoom, dengan berat sekitar 900 gram, dari Taman Jurong Park.
Peminat dron itu menerbangkan pesawat tanpa pemandu tersebut selama 22 minit, sekitar sejauh 930 meter di Corporation Road.
Dron itu diterbangkan pada ketinggian maksimum 134 meter apabila ia dikesan aeroskop Pangkalan Udara Tengah pada sekitar 7.45 malam.
Pada ketinggian dan lokasi tersebut bermakna dron itu secara langsung berada dalam laluan penerbangan landasan kapal terbang di Pangkalan Udara Tengah, menurut Timbalan Pendakwa Raya Chong Ee Hsiun.
Dua pesawat RSAF dengan empat kakitangan kesemuanya dijadualkan menggunakan landasan itu untuk mendarat dalam masa sejam selepas dron itu dikesan.
"Terdapat risiko pelanggaran, yang boleh mengancam kedua-dua nyawa dan harta benda. RSAF harus melencongkan dua pesawat itu daripada landasan tersebut dan menutup landasan selama 30 minit," kata pendakwa raya itu.
Kejadian itu bukan kali pertama Ng menerbangkan dronnya secara berbahaya.
Dron lelaki itu juga dikesan diterbangkan di sekitar Chia Ping Road, Chin Bee Road, Joo Yee Road, Yang Ho Road dan Corporation Road pada ketinggian melebihi 60 meter sebanyak 12 kali antara 17 Mei hingga 3 Okt 2020.
Ng dikehendaki mendapatkan permit untuk menerbangkan dronnya pada ketinggian lebih 60 meter, tetapi dia tidak berbuat demikian.
Pihak pendakwa memohon denda dikenakan ke atas Ng berjumlah antara S$53,000 dengan S$63,000 sebagai peringatan kepada pesalah lain.
Mereka yang menerbangkan dron tanpa permit kegiatan Kelas 2, boleh dihukum penjara sehingga dua tahun dan didenda sehingga S$50,000, dengan hukuman lebih berat bagi pesalah berulang.
Mereka yang menerbangkan dron dalam cara yang mengancam keselamatan seseorang, kapal terbang atau harta benda boleh dihukum penjara sehingga lima tahun, didenda sehingga S$100,000, atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.