Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki mengaku bersalah pajak jam tangan Rolex Submariner tiruan untuk S$18,000 setiap satu

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki mengaku bersalah pajak jam tangan Rolex Submariner tiruan untuk S$18,000 setiap satu

Jam tangan Rolex Submariner, yang membuat kemunculan pada 1953. (Gambar: Rolex)

Diterbitkan : 19 Sep 2022 10:38PM Dikemas Kini : 19 Sep 2022 10:39PM
SINGAPURA: Demi melunaskan hutang judi dan tailong, seorang lelaki membeli jam-jam tangan Rolex tiruan dan memajaknya pada harga lebih 20 kali ganda harga kosnya.

Selepas berjaya memajak seutas jam tangan Rolex Submariner tiruan untuk harga S$18,000 di sebuah kedai pajak gadai, lelaki itu kembali ke kedai tersebut untuk memajak satu lagi jam tangan dan menyuruh rakannya memajak jam ketiga sebelum perbuatannya ditangkap.

Aw Poh Seng, 33 tahun, mengaku bersalah pada Isnin (19 Sep) atas dua tuduhan menipu dan tuduhan ketiga yang tidak berkaitan iaitu membawa senjata renjat di sudut kecergasan di Yishun. Tiga lagi tuduhan dipertimbangkan sewaktu hukuman dijatuhkan.

Mahkamah diberitahu bahawa hutang Aw sudah bertimbun sejak Julai 2021 disebabkan pinjaman wang daripada tailong serta hutang judinya.

Dia merancang untuk memperdaya kedai pajak gadai dengan membeli jam tangan Rolex tiruan dan memajaknya di kedai itu sebagai pertukaran wang. Dia mencari pembekal jam tangan tiruan yang produknya kelihatan paling serupa dengan jam tangan tulen dan berjaya menjumpai pembekal sedemikian.

Dia membeli dua jam tangan Rolex tiruan Rolex berharga S$800 dan S$850. Pada 15 Julai 2021, Aw pergi ke kedai pajak gadai di Marsiling untuk memajak satu daripada jam tangan itu. Dia menyerahkan Rolex Submariner tiruan itu kepada kakitangan kedai berkenaan dan mendakwa bahawa ia tulen.

Pekerja itu meminta sijil ketulenan, namun Aw berkata dia telahpun kehilangannya. Pekerja itu diperdaya dan menerima jam tangan tersebut. Beliau memberikan S$18,000 kepda Aw untuk jam itu sebagai pulangan.

Aw juga memajak jam tangan Rolex Deep Sea Dweller tiruan untuk harga S$16,500 di kedai yang sama pada hari berkenaan.

Selepas menerima wang sebanyak S$34,500 untuk dua jam tiruan, Aw menjadi lebih berani dan memutuskan untuk memperdaya kedai itu sekali lagi pada hari berikutnya, kata pendakwa raya.

Namun, Aw bimbang kedai tersebut akan berasa curiga terhadapnya jika dia membawa jam ketiga. Maka itu, dia meminta bantuan rakannya. Rakannya bersetuju dan membawa satu lagi Rolex Submariner tiruan ke kedai yang sama pada 16 Julai 2021 di mana dia memajaknya pada harga S$18,000.

Pendakwa raya meminta hukuman penjara selama 10 bulan dan denda sebanyak S$3,000. Beliau mengatakan kesalahan Aw jelas dirancang dan dia juga memujuk seseorang untuk bersubahat dengannya.

Peguam bela pula meminta hukuman penjara lebih singkat sambil mengatakan bahawa anak guamnya menyesal atas perbuatannya dan mempunyai keluarga dengan tiga orang anak kecil.

Hakim menangguhkan penjatuhan hukuman pada bulan hadapan.
Sumber : CNA/HY/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan