Skip to main content

Singapura

Lelaki mengaku bersalah muat naik mesej palsu ancaman bom di Instagram, sebabkan 3 penerbangan tertangguh di Changi

Seorang warga Singapura berusia 19 tahun memuat naik sekeping gambar di akaun Instagram peribadinya dengan kapsyen yang menyatakan bahawa dia "akan mengebom" sebuah pesawat.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki mengaku bersalah muat naik mesej palsu ancaman bom di Instagram, sebabkan 3 penerbangan tertangguh di Changi

Sebuah pesawat Boeing 787 Dreamliner yang dikendalikan syarikat penerbangan tambang jimat jarak jauh, Scoot, yang diletakkan di kawasan parkir pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, Singapura. (Gambar fail: AFP/Roslan Rahman)

Diterbitkan : 04 Jun 2026 02:04PM
SINGAPURA: Seorang warga Singapura berusia 19 tahun memuat naik sekeping gambar di akaun Instagram peribadinya dengan kapsyen yang menyatakan bahawa dia "akan mengebom" sebuah pesawat.

Apabila seorang rakan bertanya mengenai perkara itu, dia membalas dengan mesej yang kononnya dijana secara automatik, yang menyatakan bahawa dirinya sudah berjaya mengebom pesawat tersebut, sambil menggunakan nama penuhnya.

Tertuduh kemudian berlepas dari Singapura ke Taipei.

Namun, pihak polis menerima maklumat daripada seorang individu yang tidak dikenal pasti berhubung kiriman tersebut, menyebabkan tiga penerbangan ditangguhkan untuk menjalani pemeriksaan keselamatan tambahan.

Rykes Tan Zhi Kai, yang kini berusia 20 tahun, mengaku bersalah pada Khamis (4 Jun) atas satu pertuduhan menyampaikan maklumat palsu mengenai perkara berbahaya.

KES TERSEBUT

Tan dijadual menaiki penerbangan TR876 dari Singapura ke Taipei pada Jun 2025.

Lewat 7 Jun 2025, dia mengambil gambar bersama sebuah pesawat Boeing Dreamliner yang dikendalikan Scoot ketika berada di ruang menunggu pintu pelepasan di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi.

Pada kira-kira pukul 11.55 malam, Tan memuat naik gambar tersebut ke akaun Instagram peribadinya yang mempunyai 71 pengikut.

Gambar yang dimuat naik menerusi fungsi Instagram Story itu disertakan dengan kapsyen: "Saya akan mengebom pesawat ini."

Tan kemudiannya mengatakan bahawa ia hanyalah satu gurauan.

Seorang rakannya yang melihat gambar tersebut menghubunginya untuk bertanyakan tentang perkara itu.

Tan membalas: "Ini mesej automatik. Tan Zhi Kai, Rykes telah berjaya mengebom pesawat tersebut dan tidak dapat menghubungi anda lagi mulai sekarang."

Tan mengatakan mesej itu juga adalah satu gurauan dan bertujuan menggambarkan bahawa dia kononnya sudah meninggal dunia.

Pada kira-kira pukul 1.00 pagi, 8 Jun 2025, pihak polis menerima maklumat daripada seorang pemberi maklumat yang tidak dikenal pasti berhubung gambar tersebut.

Semua pesawat Dreamliner yang dikendalikan Scoot dan dijadual berlepas dari Singapura antara 12.10 pagi hingga 1.50 pagi pada 8 Jun 2025 dikenal pasti untuk menjalani pemeriksaan.

Tiga penerbangan tertakluk kepada pemeriksaan keselamatan yang dipertingkatkan: TR138 dari Singapura ke Tianjin, China, yang dijadual berlepas pada pukul 1.30 pagi; TR186 dari Singapura ke Qingdao, China, yang dijadual berlepas pada pukul 1.45 pagi; dan TR720 dari Singapura ke Athens, Greece, yang dijadual berlepas pada pukul 1.50 pagi.

Ketiga-tiga penerbangan tersebut ditangguhkan dan hanya berlepas sekitar 3.00 pagi.

Akibatnya, Scoot mengalami kerugian operasi berjumlah kira-kira S$1,946.

Sementara itu, Tan menaiki penerbangan TR876 bersama tiga rakannya dan berlepas dari Singapura sekitar waktu pihak polis menerima maklumat tersebut.

Tan diberkas pada 11 Jun 2025 apabila dia pulang ke Singapura dari Taipei.

Tan kemudian membayar ganti rugi sepenuhnya kepada Scoot.

Pihak pendakwa menggesa mahkamah mendapatkan laporan kesesuaian probesyen dan laporan kesesuaian latihan pemulihan sebelum hukuman dijatuhkan.

Timbalan Pendakwa Xu Sijia berkata unsur pencegahan adalah penting dalam kes tersebut dan menambah bahawa Lapangan Terbang Changi merupakan sebuah "prasarana awam penting yang digunakan oleh sejumlah besar penumpang tempatan dan asing setiap hari".

Peguam Tan, Chen Yongxin dari firma guaman Chooi Jing Yen, cuba meyakinkan hakim agar tidak mengarahkan laporan kesesuaian latihan pemulihan pada peringkat tersebut.

Bagaimanapun, hakim memberi isyarat bahawa beliau akan memohon kedua-dua laporan itu.

Tan akan kembali semula ke mahkamah bagi mitigasi dan hukuman dijatuhkan.

Bagi kesalahan menyampaikan maklumat palsu mengenai perkara berbahaya, Tan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun, didenda sehingga S$50,000, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita