Skip to main content

Singapura

Lelaki mengaku bersalah dera 2 teman wanita; heret mangsa di kolong blok

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki mengaku bersalah dera 2 teman wanita; heret mangsa di kolong blok

Gambar fail Mahkamah Negara. (Gambar: Jeremy Long)

SINGAPURA: Selepas seorang lelaki menolak teman wanitanya pada waktu itu dan mengheretnya di lantai, dia memaksa wanita itu menarik balik aduan polis yang dibuat dan kemudian mendakwa secara palsu bahawa kecederaan yang dialaminya berlaku ketika mereka sedang "bergurau".

Thevanand Shivasanker, 26 tahun, juga menyepak dan menumbuk seorang lagi teman wanita dalam satu kejadian yang lain kerana berasa kurang senang selepas wanita itu berinteraksi dengan seorang rakan lelaki.

Rakyat Singapura itu mengaku bersalah pada Isnin (8 Jul) atas empat tuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja dan satu tuduhan menghalang keadilan. Empat lagi tuduhan serupa akan dipertimbangkan dalam hukumannya.

Dia kini dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak S$20,000 dan akan hadir semula ke mahkanan pada Khamis (11 Jul) bagi perbicaraan.

Kedua-dua mangsa itu tidak boleh dinamakan atas arahan mahkamah bagi melindungi identiti mereka.

MINTA TEMAN WANITA PERTAMA MENAFIKAN PENDERAAN

Mahkamah diberitahu bahawa hubungan antara Thevanand dan teman wanitanya pada waktu itu, seorang wanita berusia 23 tahun, terus bergolak sejak mereka mula berpacaran pada September 2022.

Pada 26 September 2022, Thevanand sedang meminum arak dengan mangsa di sebuah kolong blok di Teck Whye Lane.

Awal keesokan hari, pasangan itu mula bertengkar mengenai seorang bekas teman wanita Thevanand, yang menyebabkannya menjadi marah.

Pada waktu ini, seorang orang awam membuat aduan polis, mengadu bahawa beliau terdengar seseorang memekik di kolong blok. Sekurang-kurangnya lima panggilan telefon berasingan diterima berhubung insiden yang sama.

Thevanand melontarkan tin minuman arak dan telefon bimbitnya ke lantai. Pegawai polis dikerahkan ke kawasan itu, namun meninggalkan mereka setelah pasangan itu berjanji memperlahankan suara mereka dan membersihkan kawasan itu.

Selepas pegawai polis itu beredar, pasangan terbabit menyambung pertengkaran mereka. Apabila teman wanitanya cuba meninggalkan kawasan itu, Thevanan menolaknya, menyebabkan wanita itu terjatuh dan cederakan lututnya.

Dia kemudian menarik lengan wanita tersebut dan mengheretnya di lantai apabila dia cuba berdiri.

Lewat hari itu, wanita tersebut mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Nasional (NUH) dan didapati melecet pada dagu, siku dan lengannya.

Dia juga mempunyai beberapa kesan lebam di bahagian lutut dan belakangnya, dan diberikan cuti sakit selama lima hari.

Ibu bapa wanita itu menemaninya membuat aduan polis mengenai insiden itu. Dua hari kemudian, wanita itu memberitahu Thevanand menerusi pesanan mesej bahawa dia telahpun membuat aduan polis terhadap Thevanand.

Dalam usaha untuk meminta wanita itu menarik balik aduan yang dibuat, Thevanand memberitahunya bahawa dia perlu menampung ibu tunggalnya dan menjaga adik-adiknya.

Thevanand melakar aduan polis yang akan membersihkan namanya dan menghantarnya kepada teman wanitanya pada waktu itu menerusi WhatsApp. Atas belas kasihan terhadap Thevanand, wanita itu bersetuju dan membuat aduan polis yang menuruti pesanan yang diberikan oleh Thevanand.

Beliau juga mendakwa bahawa kesan lebam pada badannya bukan akibat Thevanand, dan bahawa beliau mengalami kecederaan itu apabila dia menolaknya dengan tidak sengaja ketika mereka sedang "bergurau".

Dalam aduan baharu itu, wanita berkenaan meminta agar pihak berkuasa "menolak kes tersebut" dan bahawa ibu bapanya tidak diberitahu mengenai aduan baharu itu.

Beberapa hari selepas itu, pada 30 September, ketika wanita itu sedang berminum dengan rakan-rakannya, dia menerima panggilan telefon daripada Thevanand yang meminta agar mereka bertemu.

Atas sebab bimbang Thevanand akan mencederakan rakan-rakannya, wanita itu bersetuju bertemu dengannya. Mereka kemudian bertengkar sekali lagi tentang hubungan mereka.

Thevanand enggan melepaskan wanita itu apabila dia cuba melarikan diri. Dia memekik dan menarik tangannya, menyebabkannya terjatuh.

Apabila wanita itu mengambil barangannya dan berlari ke sebuah perhentian bas, Thevanand turut mengejarnya dan menolaknya, menyebabkannya terjatuh ke dalam semak.

Thevanand kemudian memaksa wanita itu untuk duduk di bangku perhentian bas dan memaksa wanita itu memandang ke arahnya. Thevanand menggigit hidung wanita itu selama lima hingga enam saat, hingga hidungnya berdarah.

Wanita itu mendapatkan rawatan hospital dan didiagnosis dengan sakit leher dan punggung serta luka pada hidung, dan diberi antibiotik, ubat penahan sakit dan cuti sakit selama tujuh hari.

PERGADUHAN DENGAN TEMAN WANITA KEDUA, ABANG

Pada Julai 2023, sekitar sebulan selepas menjalin hubungan baharu dengan seorang wanita berusia 19 tahun, Thevanand mahu wanita itu berhenti berkomunikasi dengan seorang rakan lelakinya.

Thevanand terlihat sebuah 'heart emoji' diletakkan sebelah nama seseorang rakan lelaki di telefon bimbit teman wanitanya itu dan mereka mula bertengkar apabila dia tidak memadamkan nombor itu daripada telefon bimbitnya.

Situasi itu menjadi lebih teruk apabila wanita itu memberitahu Thevanand bahawa beliau telahpun pulang ke rumah, tetapi Thevanand kemudian melihatnya menaiki tangga di bloknya. Dokumen mahkamah tidak menyatakan mengapa Thevanand berada di tangga itu.

Thevanand kemudian menyepak pipi wanita itu dua kali dengan menumbuk dagunya, menyebabkannya mengalami kesan luka di dagu.

Pada bulan yang sama, mangsa telah ke rumah seorang rakan lelaki dengan rakan-rakan wanita yang lain, namun beliau menyatakan bahawa dia akan ke rumah kakaknya.

Disebabkan rasa curiga, Thevanan memberitahu mangsa untuk menghantarkan lokasinya menerusi WhatsApp dan kemudian marah apabila dia mengaku perkara sebenar.

Apabila wanita itu pulang ke rumah, dia menemui Thevanand yang sedang menunggu di kolong bloknya, dan mereka mula bertengkar. Thevanand kemudian menyepak pipi mangsa, menyebabkan kesan lebam pada bahagian dalam bibir.

Thevanand turut mengaku bergaduh dengan abangnya pada 12 Oktober 2023, yang mana dia memukul kepala abangnya menggunakan botol bir, serta menumbuk dan menendangnya.

Thevanand sedang minum arak di sebuah kelab dan kedai kopi untuk menyambut ulang tahun abangnya apabila mereka mula bergaduh kerana Thevanand berpendapat bahawa abangnya tidak menghormatinya.

Bagi setiap tuduhan menyebabkan kecederaan dengan sengaja, Thevanand boleh dipenjara tiga tahun, didenda sebanyak S$5,000, atau kedua-duanya sekali.

Mereka yang melakukan kesalahan terhadap pasangan dalam hubungan intim boleh dikenakan hukuman seganda lebih tinggi.

Sesiapa yang menghalang keadilan boleh dipenjara tujuh tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : Today/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita