Skip to main content

Singapura

Lelaki mengaku bersalah adakan hubungan seks bawah umur dengan remaja perempuan yang dikenali di IG

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Seorang remaja mendekati remaja perempuan bawah umur di Instagram sebelum melakukan hubungan seks dengan mereka.

Tertuduh yang sekarang berusia 20 tahun mengaku bersalah hari ini (16 Dis) atas empat tuduhan melakukan persetubuhan dengan budak bawah umur. Lagi 11 tuduhan, termasuk pencabulan dan eksploitasi seks kanak-kanak atau orang muda, akan dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.

Para mangsa dilindungi di bawah perintah mahkamah dan identiti tertuduh tidak boleh didedahkan kerana dia berusia bawah 18 tahun semasa melakukan kesalahan-kesalahan tersebut.

Mahkamah dimaklumkan bahawa tertuduh memulakan perbualan di Instagram dengan seorang remaja perempuan berusia 14 tahun pada awal 2018. Pada masa itu, tertuduh berusia 16 tahun.

Mereka mula "saling berbalas mesej bermain cinta di Instagram dan Telegram" sebelum bersetuju untuk bertemu di rumah remaja perempuan itu pada April 2018.

Mangsa dan tertuduh kemudian menyelinap masuk ke bilik tidur, kata pihak pendakwa. Mereka mula menonton filem di atas katil. Kemudian, tertuduh mula mencium mangsa dan memegang kakinya sebelum melakukan seks bawah usia dengan mangsa dan memujuk mangsa supaya melakukan aksi seks terhadapnya.

Tertuduh menyedari bahawa mangsa di bawah usia 16 tahun, kata pendakwa. Mereka hanya bertemu sekali sahaja dan berhenti berbalas mesej selepas itu.

Mangsa kedua yang juga berusia 14 tahun ketika itu didekati tertuduh pada hujung 2017. Tertuduh memuji mangsa dan mula menghantar mesej di Instagram dan Whatsapp.

Hanya pada Ogos 2018 tertuduh mencadangkan untuk bertemu mangsa berkenaan.

Mangsa menyuruh tertuduh untuk membawa kondom, kerana dia tidak akan bersetuju untuk melakukan seks tanpa kondom.

Mereka menonton filem di Downtown East pada 7 Ogos 2018 sebelum menuju ke kawasan tangga di Pasir Ris untuk melakukan aksi seks.

Mereka bertemu sekali lagi untuk melakukan seks di rumah tertuduh pada September 2018. Pada masa itu, tertuduh berusia 17 tahun dan mangsa, 14 tahun.

Mahkamah juga dimaklumkan bahawa mangsa ketiga didekati tertuduh pada Ogos 2019 dan menjalin "hubungan romantik singkat".

Tertuduh memberitahu mangsa, dia enggan ibu bapanya tahu bahawa mangsa datang ke rumah mereka. Dia kemudian memalingkan arah kamera keselamatan yang berada di pintu rumahnya sebelum senyap-senyap membawa mangsa ke dalam rumah.

Tertuduh meminta remaja berusia 15 tahun itu melakukan aksi seks terhadapnya sebelum meninggalkan rumah tersebut bersama-sama. Mereka bertemu lagi dalam bulan yang sama untuk melakukan aksi seks di tandas pusat beli-belah. Namun, hubungan mereka terputus selepas itu.

Semua tiga mangsa membuat aduan polis pada Jun 2020, menyatakan mereka melakukan seks bawah usia, seks tanpa perlindungan atau seks oral dengan tertuduh.

PENDAKWA MEMINTA LAPORAN KESESUAIAN RTC, PEMBELA MAHUKAN PROBESEN

Pihak pendakwa meminta laporan yang menilai kesesuaian tertuduh untuk dikenakan latihan pemulihan. Ini adalah hukuman yang lebih keras berbanding probesen yang menahan pesalah-pesalah lebih muda dalam sekitaran berstruktur, dengan penekanan pada pemulihan.

Pendakwa juga berkata kesalahan-kesalahan seksual itu dilakukan terhadap lapan mangsa kesemuanya, termasuk tuduhan yang diambil kira. Sebilangan tuduhan itu adalah bagi perbuatan yang tidak dipersetujui.

Peguam bela Riko Isaac juga meminta bagi laporan kesesuaian probesen. Encik Riko berkata semua kesalahan yang mana tertuduh didakwa itu melibatkan anak guamnya mencara profil perempuan-perempuan tersebut di Instagram dan mendapati mereka menawan lalu menghantar mesej kepada mereka.

"Akhirnya, perbualan mereka berubah menjadi perbuatan seks," katanya lagi. Beliau juga berkata mangsa pertama sendiri memberikan alamat rumahnya kepada anak guam beliau dan membawa tertuduh masuk ke dalam bilik tidur.

"Kami membangkitkan hal ini bukan untuk menyalahkan mangsa," kata Encik Isaac. "Namun, dalam konteks tersebut, seorang budak berusia 17 tahun akan menilai situasi itu lebih berbeza berbanding seorang yang lebih matang."

Beliau juga menambah bahawa anak guamnya itu "bukan seorang pencari mangsa seks yang melungsuri Instagram untuk mencari perempuan bagi tujuan melakukan hubungan seks", dan perbicaraan di mahkamah "membawa kesan terhadap tertuduh".

Tertuduh ditahan reman selama sembilan bulan selepas diberkas dan reman ini adalah "tempoh yang membuat dia sedar akan kesalahan yang dilakukan", kata Encik Isaac lagi.

Hakim meminta kedua-dua laporan kesesuaian probesen dan latihan pemulihan, sambil menyatakan bahawa kesalahan-kesalahan yang dilakukan adalah serius memandangkan jumlah mangsa yang terlibat. Namun dia juga adalah pesalah yang muda.

Hukuman kemudian ditangguhkan ke Februari 2022.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita