Skip to main content

Singapura

Lelaki mengaku anjur pesta dadah sempena hari jadi ketika pandemik COVID-19

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki mengaku anjur pesta dadah sempena hari jadi ketika pandemik COVID-19

Edmund Zachary Ong Wei Ming mengaku mengetahui bahawa tetamunya sedang mengambil dadah. (Gambar: edzackly/Instagram)

SINGAPURA: Semasa pandemik COVID-19, apabila perjumpaan sosial dihadkan kepada lima orang, dua lelaki menganjurkan majlis hari jadi di mana tetamunya turut mengambil dadah.

Polis menangkap dua lelaki itu di rumah mereka pada awal pagi keesokan harinya. Dadah ecstasy atau MDMA ditemui dalam sampel air kencing 22 daripada 34 orang yang menghadiri pesta tersebut.

Salah seorang daripada dua hos itu, warga Singapura Edmund Zachary Ong Wei Ming, 33 tahun, mengaku bersalah pada Isnin (27 Mei) atas tiga pertuduhan membenarkan unit kediamannya digunakan untuk mengambil dadah, mengambil dadah dan membenarkan orang lain memasuki unit itu untuk sambutan hari lahir semasa pandemik.

Dua lagi pertuduhan kerana mengambil dua jenis dadah lain akan diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.

Waran tangkap turut dikeluarkan terhadap warga Malaysia Jonathan Goh Wai Sern, 35 tahun yang didakwa menganjurkan bersama pesta itu.

RENTETAN KES

Mahkamah diberitahu bahawa Ong mula tinggal di bilik tetamu Goh sejak September atau Oktober 2021.

Lokasi rumah itu disunting daripada dokumen mahkamah.

Ong membayar Goh S$1,000 sebulan untuk menyewa bilik tersebut.

Mulai kira-kira jam 7.00 malam pada 26 Mac 2022, ketika sekatan COVID-19 masih dilaksanakan, Goh dan Ong menganjurkan majlis hari jadi untuk seorang lagi individu.

Seramai 34 tetamu menghadiri pesta tersebut.

Para tamu bergaul antara satu sama lain, minum arak, menyanyi karaoke, makan, menari dan mengambil dadah di parti itu, kata pihak pendakwa.

Ong tahu bahawa tetamu mengambil dadah seperti MDMA, GHB dan ketamin di pesta itu.

Dia mengakui terdapat beberapa cawan wain merah yang dicampur dengan pil ecstasy yang dihancurkan di atas meja ruang tamu, yang dikongsi tetamu.

Ada juga yang mengambil pil ecstasy. Ong berkata, dia tahu tetamunya mengambil dadah dan membenarkan mereka terus berbuat demikian.

Pada kira-kira jam 6.00 pagi keesokan harinya, polis datang ke unit itu dan menangkap Ong serta 35 orang lain. Tidak dinyatakan bagaimana pihak berkuasa tahu tentang pesta tersebut.

Selepas ditangkap, Ong memberikan dua sampel air kencing, yang didapati mengandungi norketamin, juga dikenali sebagai K.

Dia juga mengaku mengambil ecstasy atau MDMA dan G-water atau GHB. Ong berkata dia mengambil dadah itu kerana rasa "tertekan sejak sebelum pandemik COVID-19".

Seramai 22 tetamu juga didapati telah mengambil ecstasy hasil daripada ujian air kencing mereka.

Timbalan Pendakwa Raya Quek Lu Yi memohon agar Ong dikenakan hukuman penjara selama kira-kira dua tahun.

Beliau berkata "tidak penting" bagi perjumpaan itu diadakan dan jumlah tetamu yang datang melebihi dengan ketara had lima orang yang dibenarkan ketika itu.

Pesta itu juga berlangsung selama kira-kira 11 jam, berakhir hanya apabila polis menyerbu rumah itu.

Ong akan kembali ke mahkamah pada Jun untuk mendengar hukuman yang dijatuhkan.
Sumber : CNA/SU/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita