Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki mengaku ambil video bawah skirt dan wanita mandi di kolej Yale-NUS

Seorang lelaki yang tinggal di sebuah bilik suite bersama 5 wanita di Kolej Yale-NUS merakam video empat daripada mereka secara sembunyi. Tertuduh pada Isnin (13 Jan) mengaku bersalah atas 8 dakwaan menghina kehormatan seorang wanita dengan 16 dakwaan lain diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki mengaku ambil video bawah skirt dan wanita mandi di kolej Yale-NUS

Kampus Kolej Yale-NUS. (Gambar: Yale-NUS)

Diterbitkan : 13 Jan 2020 05:34PM Dikemas Kini : 13 Jan 2020 05:39PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang tinggal di sebuah bilik suite bersama lima pelajar wanita di Kolej Yale-NUS merakam video empat daripada mereka secara sembunyi.

Identiti tertuduh berusia 26 tahun itu tidak boleh didedahkan atas arahan mahkamah dalam prosiding sebelum ini setelah rayuan pembelaan dibenarkan.

Menurut hujah peguam bela dalam perbicaraan tahun lalu, mendedahkan identiti tertuduh akan turut mendedahkan identiti para mangsa kerana "kohort mereka sangat kecil".

Tertuduh pada Isnin (13 Jan) mengaku bersalah atas lapan dakwaan menghina kehormatan seorang wanita dengan 16 dakwaan lain diambil kira dalam menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu tertuduh pada waktu kejadian adalah seorang pelajar dan merakam petikan video antara Ogos 2017 hingga Mei 2018, dan Antara Januari 2019 hingga Mac 2019.

Dia tinggal di sebuah suite bersama lima wanita. Setiap penginap mempunyai bilik berasingan namun berkongsi satu tandas.

Kesalahan-kesalahan tersebut terbongkar pada 3 Mac, 2019, apabila salah seorang mangsa berusia 22 tahun ke tandas untuk mandi.

Semasa mangsa berada di dalam, tertuduh berdiri di depan pintu tandas dan cuba merakam wanita itu menggunakan telefonnya.

Wanita tersebut terdengar bunyi di luar bilik mandi dan ternampak sepasang kaki dari bawah pintu, kata Timbalan Pendakwa Raya Gabriel Lim.

Apabila ternampak telefon di atas pintu menghala ke arahnya, beliau memekik meminta tolong teman lelakinya yang berada di suite itu.

Tertuduh berlari ke arah sofa di ruang tamu suite dan memadamkan rakaman wanita yang telanjang itu serta video-video lain.

Mangsa memberitahu tertuduh bahawa beliau bercadang membuat aduan polis malam itu, namun tertuduh menafikan dirinya bersalah.

Bagaimanapun sejurus sebelum mangsa keluar untuk membuat aduan, tertuduh mengaku di hadapan kesemua rakan-rakan dalam suite bahawa dia yang berdiri di depan pintu tandas, namun berbohong bahawa itulah kali pertama dia melakukannya.

Dia juga berbohong dan berkata dia tidak sempat merakam apa-apa.

Mangsa pada awalnya percaya kata-kata tertuduh dan membatalkan hasrat untuk membuat aduan polis.

Namun 10 hari kemudian, beliau membuat aduan polis, menyusuli pertemuan antara ibu bapanya dan ibu bapa tertuduh.

Satu serbuan dilakukan ke atas rumah tertuduh pada 13 Mac 2019 dan telefonnya, iPad, MacBook dan pemacu cakeranya dirampas.

Video-video yang sudah dipadam dapat diakses semula menerusi pemeriksaan forensik.

Tertuduh, yang diwakili peguam Josephus Tan dari syarikat Invictus Law, berkata dia merakam rakan-rakan suitenya semasa mereka mandi sebagai cara menghilangkan stres daripada tekanan akademik.

Dia menambah bahawa dia akan menonton semula video-video tersebut di telefon bimbitnya apabila rasa tertekan dengan kerja sekolah.

Selain merakam video rakan-rakan suite semasa mandi, dia juga mengaku bersalah merakam video bawah skirt wanita di bilik-bilik darjah Yale-NUS.

Hakim menangguhkan rayuan dari pihak tertuduh dan penghakiman kepada 31 Januari ini.

Bagi setiap dakwaan menghina kehormatan wanita dia boleh dikenakan penjara sehingga setahun, denda atau kedua-duanya sekali.

Mediacorp sudah menghubungi Kolej Yale-NUS bagi maklumat lanjut.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan