Skip to main content

Singapura

Lelaki mengaku ambil dadah dengan bekas peguam M Ravi akan didakwa pada 26 Dis

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki mengaku ambil dadah dengan bekas peguam M Ravi akan didakwa pada 26 Dis
M Ravi, yang nama penuhnya ialah Ravi Madasamy, dilahirkan pada 1969 dan pernah berkhidmat sebagai peguam selama lebih 25 tahun. (Gambar: Mediacorp)
Diterbitkan : 26 Dec 2025 09:31AM Dikemas Kini : 26 Dec 2025 10:14AM
SINGAPURA: Seorang lelaki yang mendakwa mengambil dadah bersama bekas peguam, M Ravi, beberapa jam sebelum kematiannya akan didakwa pada Jumaat (26 Dis) kerana mengatur satu perhimpunan di mana dadah terkawal telah digunakan.

Shawn Loo Zhi Jian, 40 tahun, didakwa atas satu tuduhan di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah oleh Mahkamah Negara.

Kertas pertuduhannya menyatakan bahawa pada Rabu, antara pukul 1.00 pagi dengan 5.00 pagi, di sebuah unit di Upper Boon Keng, Loo telah mengatur pertemuan dengan Encik Ravi sekalipun mengetahui bahawa methamphetamine akan digunakan semasa pertemuan itu.

Kesalahan itu membawa hukuman penjara maksimum selama 20 tahun dan sepuluh sebatan rotan.

Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Jumaat (26 Dis), Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Biro Narkotik Pusat (CNB) menyatakan bahawa kedua-dua lelaki itu saling mengenali satu sama lain sejak 2023 dan pertama kali bertemu melalui aplikasi rangkaian sosial.

Lelaki berusia 40 tahun itu berkata mereka bertemu di apartmennya pada 24 Disember untuk mengambil dadah yang dipercayai dimiliki oleh mereka berdua, dan mereka turut melakukan aktiviti lain.

Menurutnya, Encik Ravi, 56 tahun, mula menunjukkan “gejala membimbangkan” dan tidak sedarkan diri selepas mereka mengambil dadah tersebut.

Lelaki itu memberikan bantuan pernafasan kecemasan (CPR) kepada Ravi sebelum menghubungi Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) untuk mendapatkan bantuan.

Encik Ravi dimasukkan ke Hospital Tan Tock Seng (TTSH) dalam keadaan tidak sedarkan diri yang kemudian disahkan meninggal dunia.

Siasatan susulan CNB mendapati lelaki itu mungkin dengan sengaja membuang sebahagian dadah itu sebelum pihak polis tiba di apartmennya di Upper Boon Keng Road.

Dia sudahpun dirujuk kepada pihak polis atas kemungkinan melakukan kesalahan menghalang proses keadilan.

Lelaki tersebut telahpun diberkas oleh CNB kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan dadah di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Para pegawai CNB turut merampas beberapa barangan berkaitan dadah dari apartmen tersebut.

Ujian air kencing menunjukkan kesan positif dadah terkawal, dan sampel air kencingnya akan dihantar ke Penguasa Sains Kesihatan (HSA) untuk ujian pengesahan.

Siasatan CNB dan polis masih dijalankan.

Menurut pihak berkuasa, selepas siasatan polis selesai dijalankan, dapatan tersebut akan diserahkan kepada Koroner Negara, yang akan menentukan sama ada siasatan koroner diperlukan.

Loo akan dihadapkan semula ke mahkamah pada 2 Januari. Loo ditawarkan ikat jamin sebanyak S$20,000.
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita