Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki mencurigakan ditahan polis di stesen MRT, dipenjara gara-gara miliki video seks

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang lelaki mencurigakan yang ditahan polis di platform stesen MRT didapati memiliki video seks, yang diperolehi secara salah, memaparkan dirinya sendiri dengan beberapa wanita.

Khoo Ee Seong, seorang warga Malaysia dipenjara 20 minggu dan didenda S$4000 pada Selasa (6 Sep).

Dia mengaku bersalah atas empat tuduhan mengganggu privasi wanita dengan niat mencabul kehormatannya dan satu tuduhan memperolehi filem lucah. Lagi 10 tuduhan dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Khoo berada di platform stesen MRT Paya Lebar pada petang 10 Februari 2019 apabila pegawai polis dari unit Rondaan Transcom melihat perbuatan mencurigakan itu.

Mereka menghampiri Khoo dan memeriksa barang-barangnya. Mereka terjumpa video Khoo melakukan seks dengan seorang wanita yang tidak kenali dalam dua telefon bimbitnya. Mereka juga menjumpai tiga 'thumb drive' dari Khoo.

Khoo mengaku bahawa terdapat video lucah dalam 'thumb drive' tersebut. Telefon bimbit dan 'thumb drive' tersebut dirampas dan dia diberkas.

Pemeriksaan forensik ke atas telefon bimbit pertama Khoo mendedahkan lima video aksi lucah bersama wanita berbeza. Dia membayar seorang wanita untuk melakukan seks dengannya pada pukul 2.45 pagi pada 12 Julai 2017 di flatnya.

Dia meletakkan telefon bimbitnya di hujung bilik dan mula merakam sebelum wanita tersebut sampai ke rumahnya. Dia merakam perbuatan seks mereka tanpa pengetahuan wanita tersebut.

Satu lagi video seks bersama wanita lain dijumpai di telefon bimbit keduanya. Dia membayar wanita itu untuk melakukan seks bersamanya di flat wanita itu pada pukul 5.30 petang pada 2 Januari 2019. Sekali lagi dia merakam video mereka tanpa pengetahuan wanita itu.

'Thumb drive' pertama Khoo mempunyai video seks pesalah dengan dua wanita lain yang dirakam dengan cara yang sama. Manakala, 'thumb drive' yang lain mengandungi lapan filem lucah.

Dia memuat turun filem-filem itu daripada laman pornografi dan menyimpannya untuk tontonan peribadi. Salah satu filem tersebut sepanjang 46 minit.

Atas kesalahan mengganggu privasi wanita dengan niat mencabul kehormatannya, dia boleh dijatuhi hukuman penjara selama setahun dan didenda bagi setiap tuduhan. Atas kesalahan memperolehi filem lucah, dia boleh dikenakan denda S$500 bagi setiap filem dengan denda maksimum S$20,000 atau dipenjarakan selama enam bulan, atau kedua-duanya sekali.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan