Lelaki maut disengat tebuan semasa berbasikal di penghubung taman Sembawang: Mahkamah koroner
Seorang lelaki berusia 60 tahun disengat tebuan semasa berbasikal berdekatan Kuil Sembawang God of Wealth. (Petikan gambar dari Google Street View)
Toksin daripada sengatan serangga itu menjejaskan organ-organ pentingnya, bermula dengan hati dan buah pinggang. Paras asid lebih tinggi dalam darahnya kemudian menyebabkan kegagalan organ, menurut mahkamah koroner pada Selasa (5 Mac).
APA YANG TERJADI
Mahkamah diberitahu bahawa Encik Ang sedang berbasikal di penghubung taman di Sembawang pada lewat pagi 4 Julai 2022.
Ketika melalui kuil 'Sembawang God of Wealth' antara jam 11.45 pagi dengan 11.55 pagi, beliau diserang sekawan tebuan dan disengat banyak kali semasa berbasikal.
Encik Ang sempat menghubungi isterinya, Cik Oh, dan memberitahunya bahawa dia dikejar dan disengat sekawan tebuan dekat kuil berkenaan.
Cik Oh menyuruhnya pulang dan akan membawanya ke doktor. Beberapa minit kemudian, Cik Oh sekali lagi menghubungi suaminya untuk bertanya keberadaannya.
Encik Ang berkata beliau berada di penghubung taman di hadapan Blok 467A Admiralty Drive, yang terletak kira-kira tujuh minit dari kuil.
Beliau mengadu tidak dapat mengayuh basikalnya kerana berasa pening dan sukar bernafas. Kerongkongnya juga sakit.
Cik Oh lantas menyuruh suaminya supaya menunggu di tempat itu, lalu menghubungi ambulans sebelum ke sana.
Apabila tiba di tempat kejadian, Cik Oh ternampak beberapa kesan sengatan serangga pada tubuh Encik Ang.
Encik Ang juga telah menanggalkan bajunya dan mengadu haus, serta kerongkongnya bengkak.
Beliau juga berulang kali berkata rasa tidak selesa dan sukar bernafas.
Encik Ang dibawa ke Hospital Khoo Teck Puat dan dirawat di Unit Rawatan Rapi Perubatan (MICU) pada pagi 5 Jul 2022.
Tiada tanda-tanda klinikal bagi tindak balas alahan dikesan tetapi beliau dirawat bagi kemungkinan itu.
Encik Ang dirawat bagi kegagalan berbilang organ akibat sengatan serangga, yang ketika itu belum dikenal pasti.
Beliau turut mengalami kegagalan hati akut. Buah pinggangnya juga gagal dan beliau menjalani dialisis secara berterusan.
Malangnya, keadaannya memburuk dan beliau meninggal dunia pada pagi 7 Jul 2022.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.