Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki maut digilis kereta api dekat stesen MRT Kallang

Seorang lelaki meninggal dunia setelah dilanggar kereta api dekat stesen MRT Kallang pada Khamis malam (25 Feb), menurut SMRT.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki maut digilis kereta api dekat stesen MRT Kallang

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 26 Feb 2021 08:07AM Dikemas Kini : 26 Feb 2021 08:10AM

SINGAPURA: Seorang lelaki meninggal dunia setelah dilanggar kereta api dekat stesen MRT Kallang pada Khamis malam (25 Feb), menurut SMRT.

"Pada kira-kira pukul 9.00 malam, seorang kapten kereta api melaporkan telah melanggar sebuah objek dekat stesen MRT Kallang. Pengurus stesen kami dikerahkan ke landasan kereta api dan menemui seorang lelaki terbujur, kira-kira 150 meter dari stesen berkenaan," menurut syarikat pengendali pengangkutan itu dalam kemas kini kepada satu catatan Facebook yang dimuat naik pada lewat malam semalam.

Insiden itu berlaku di Laluan Timur-Barat menghala Pasir Ris, menurut SMRT.

"Akibat insiden itu, khidmat kereta api digantung antara stesen Bugis dengan Aljunied di kedua-dua arah. Stesen Lavender dan Kallang ditutup."

Individu itu kemudian disahkan meninggal dunia, tambah SMRT.

"Kami ingin menyampaikan takziah yang mendalam kepada keluarga mangsa," menurut SMRT.

Kira-kira 10 minit sebelum pukul 12.00 tengah malam, 16 orang daripada pelbagai agensi dilihat berada di landasan kereta api tersebut.

Satu skrin putih dipasang di hujung kereta api itu.

SMRT sebelum ini menyatakan bahawa mayat ditemui di landasan tersebut tetapi mengemas kini catatannya kemudian untuk menyatakan seorang individu disahkan meninggal dunia di landasan itu.

"Pasukan Jagaan SMRT turut berada di tempat kejadian untuk membantu para kakitangan kami dan anggota keluarga mendiang," tambah kenyataan tersebut.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan bahawa ia menerima panggilan meminta bantuan pada kira-kira pukul 9.35 malam di 5 Sims Avenue, sambil menambah bahawa seorang individu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan paramediknya.

Mediacorp melihat sebuah kereta api yang tidak bergerak di landasan sebelum terowong menghala ke stesen MRT Lavender, dengan beberapa individu berjalan bersebelahannya sambil memegang lampu suluh.

Beberapa kereta polis, ambulans dan kereta bomba SCDF juga kelihatan di luar stesen MRT Kallang.

Seorang pembaca Mediacorp berkata beliau berada dalam kereta api yang meninggalkan stesen MRT Lavender ketika ia "hampir-hampir berhenti serta-merta dan mula mundur secara perlahan-lahan".

"Selepas kira-kira lima minit, para penumpang diminta turun kereta api kerana terdapat beberapa halangan di atas landasan," katanya.

"Semua orang turun dan ketika mereka mengumumkan bahawa sebuah kereta api lain terkandas di Kallang, semua orang mula keluar dari stesen itu."

SMRT pertama kali menulis catatannya di Twiter pada sekitar 10.00 malam yang menyatakan bahawa tiada khidmat kereta api antara Bugis dengan Aljunied disebabkan oleh "satu insiden", sambil menambah bahawa khidmat bas biasa dan ulang alik percuma juga disediakan antara kedua-dua stesen tersebut.

Dalam kemas kini pada catatan Facebook, SMRT menyatakan bahawa pengumuman dalam kereta api dan di stesen dibuat untuk menasihati para penumpang supaya mencari pilihan perjalanan alternatif.

"SCDF dan polis dengan segera dikerahkan. Kami sedang membantu polis dalam siasatannya," menurut SMRT.

Dalam satu catatan Facebook, Anggota Parlimen (AP) Buruh Melvin Yong berkata Kesatuan Pekerja Pengangkutan Kebangsaan (NTWU) sudahpun menghubungi para kakitangan kereta api yang terjejas dan memastikan mereka menerima "bantuan mental dan emosi yang sewajarnya".

Sumber : CNA/HA/ha

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan