Lelaki maut, 3 dibawa ke hospital susuli kebakaran flat Lorong Lew Lian
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dikerahkan ke lokasi kebakaran di Blok 8 Lorong Lew Lian pada 1 September 2026. (Gambar: Facebook/SCDF, Seah Kian Peng)
Sekitar 30 penduduk turut dipindahkan dari blok tersebut sebagai langkah berjaga-jaga.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan pihaknya dimaklumkan mengenai kebakaran di Blok 8 Lorong Lew Lian sekitar 2.45 petang.
Setibanya di lokasi, anggota bomba melihat asap hitam keluar dari sebuah unit di tingkat tiga.
Semasa operasi memadamkan kebakaran dijalankan, seorang individu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang tamu.
Anggota bomba membawa mangsa keluar dari unit tersebut dan memberikan bantuan pernafasan (CPR) sebelum dia dibawa ke Hospital Tan Tock Seng.
Tiga lagi dibawa ke hospital kerana terhidu asap dan mengalami sesak nafas.
Kebakaran yang melibatkan barangan di ruang tamu itu kemudian dipadamkan menggunakan satu jet air.
PENDUDUK MENINGGAL DUNIA
Anggota Parlimen GRC Marine Parade-Braddell Heights Seah Kian Peng mengesahkan dalam satu catatan Facebook pada petang Selasa (1 Sep) bahawa penghuni unit tersebut sudah meninggal dunia.
Encik Seah, yang juga Speaker Parlimen, berkata beliau mengenali lelaki itu selama bertahun-tahun dan kali terakhir bertemu dengannya baru-baru ini.
Menurut Encik Seah, mangsa sudah lama menetap di kawasan tersebut dan dikenali sebagai seorang yang peramah.
Beliau menambah bahawa pihaknya akan bekerjasama dengan agensi-agensi berkaitan untuk membantu mereka yang terjejas akibat kebakaran tersebut.
Punca kebakaran masih disiasat SCDF.
BEBERAPA KEBAKARAN MAUT SEJAK AKHIR JULAI
Kejadian terbaharu itu menyusuli beberapa kebakaran maut di kediaman sejak akhir Julai.
Pada 28 Julai, seorang lelaki berusia 70 tahun meninggal dunia menyusuli kebakaran di sebuah flat di Blok 39 Circuit Road.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.