Lelaki main papan luncur di Tugu Peringatan Perang didenda, mohon maaf
Stephan Kovalkov, seorang rakyat Singapura berusia 24 tahun yang bermain papan luncur dan menyebabkan kerosakan di Tugu Peringatan Perang didenda sebanyak S$4,000 pada Jumaat (12 Nov) atas satu tuduhan sengaja mengganggu monumen negara di bawah Akta Pemuliharaan Monumen Negara.
Stephan Kovalkov. (Gambar: Try Sutrisno Foo)
SINGAPURA: Stephan Kovalkov, seorang rakyat Singapura berusia 24 tahun yang bermain papan luncur dan menyebabkan kerosakan di Tugu Peringatan Perang didenda sebanyak S$4,000 pada Jumaat (12 Nov) atas satu tuduhan sengaja mengganggu monumen negara di bawah Akta Pemuliharaan Monumen Negara.
Ini adalah kali pertama kesalahan sedemikian dilakukan di Singapura.
Mahkamah diberitahu bahawa Kovalkov dilahirkan di Singapura dan sudahpun menjalani perkhidmatan negara sepenuh masa.
Pada malam 17 Julai tahun ini, Kovalkov dan empat lagi rakannya memandu merata Singapura untuk mencari tempat untuk bermain papan luncur di kawasan bandar.
Rakan subahatnya adalah: seorang warga Rusia dan penduduk tetap Singapura Ekaterina Utkina, 24 tahun, warga Britain Willian Bryn Vaughan, 20 tahun, rakyat Singapura Sheikh Mustafa Sheikh Abdul Sattar San'ani, 19 tahun dan rakyat Singapura Clarence Aloysious Batchelor, 18 tahun.
Kovalkov menyarankan mereka berkumpul di Tugu Peringatan Perang dan memasang peralatan bermain papan luncur tanpa bot di situ.
Rakaman-rakaman video menunjukkan dia mengikat kakinya kepada papan luncur dan memakai topi keledar sebelum melakukan aksi meluncur di bahagian kolam cetek di tapak Tugu Peringatan Perang itu.
Dia melakukan sedemikian sebanyak lima kali, melakukan aksi papan luncur yang dikenali sebagai 'wall slide' dan menepis tembok konkrit tugu itu. Ekaterina membantunya merakam tindakan tersebut dan salah satu rakaman kemudian tular, hingga aduan polis dibuat.
Timbalan Pendakwa Raya Koh Mun Keong berkata Tugu Peringatan Perang itu dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri Lee Kuan Yew pada 15 Februari 1967 selepas para pemimpin Majlis Berbilang Agama yang mewakili penganut agama-agama di Singapura memanjatkan doa mereka.
Ia diwartakan oleh Lembaga Warisan Negara (NHB) pada Ogos 2013 sebagai Monumen Negara ke-65 di Singapura.
Tugu itu adalah bagi memperingati orang awam yang menjadi mangsa semasa Perang Dunia Kedua dan juga bagi meraikan ciri berbilang kaum Singapura. Ia bertujuan menandakan penderitaan yang dikongsi bersama oleh kumpulan-kumpulan etnik utama Singapura serta mangsa peperangan itu.
Monumen itu yang memaparkan empat tugu yang bercantum menjadi satu, menghala ke arah langit dan bina di atas kubur yang mengandungi saki baki mayat yang dikebumi semula dari tanah perkuburan beramai-ramai yang didapati merata Singapura pada 1962.
Tapak tugu itu dikelilingi dua kolam air cetek dan di situlah Kovalkov bermain papan luncur. Upacara memperingati mangsa Perang Dunia Kedua dianjurkan di tapak itu pada 15 Februari setiap tahun.
Encik Koh meminta denda antara S$3,000 dengan S$5,000 dikenakan, sambil menyatakan bahawa tugu itu "mempunyai pengertian amat besar kepada Singapura dan rakyat Singapura."
"Ia dibina untuk mengenang salah satu tragedi yang membawa kesan besar dalam sejarah negara kita. Ia menempatkan jasad mangsa Perang Dunia Kedua dan menandakan penderitaan yang dikongsi bersama empat kumpulan etnik Singapura sewaktu perang itu," kta beliau.
Encik Koh menambah sebarang bentuk penghinaan harus dielak.
Kovalkov meminta peguamnya untuk memohon maaf atas tindakannya serta kepada penduduk Singapura, khusus kepada saudara-mara, mereka yang tersayang dan sahabat handai mangsa peperangan itu.
Atas kesalahan sengaja menganggu monumen negara, Kovalkov boleh dipenjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$30,000 atau kedua-duanya sekali.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.